3 aset baharu tingkat pendapatan logistik FGV | DagangNews Skip to main content

3 aset baharu tingkat pendapatan logistik FGV

Trak Metil Ester Sawit (PME)

KUALA LUMPUR 17 Julai - Pendapatan sektor logistik FGV Holdings Berhad (FGV) akan dipertingkat melalui pemilikan tiga aset baharunya iaitu lori tangki, treler tirai tepi (curtain sider trailer) dan trak pembuang (dumper truck).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, aset tambahan baharu itu telah diterima pada Julai 2020 yang akan meningkatkan kekuatan logistik di bawah FGV Transport Sdn. Bhd. yang memberi perkhidmatan pengangkutan darat, multimodal, perkhidmatan kurier dan pergudangan.

"FGV Transport memainkan peranan penting dalam rangkaian bekalan dan menjadi pengendali pengangkutan produk sawit terbesar di negara ini. Jumlahnya hampir 500 trak merangkumi lori tangki, kargo, kurier serta 14 hab di seluruh negara yang merangkumi lima depot utama dan sembilan sub-depot.

"Kami fokus dan berazam untuk mengembangkan perniagaan logistik kami sebagai penyedia perkhidmatan logistik yang cekap dan boleh dipercayai sejajar dengan permintaan industri. Perkhidmatan kami bukan hanya bergerak dari lokasi A ke lokasi B, tetapi kami menawarkan pasukan profesional yang berpengalaman dalam bidang logistik dan pengurusan pengangkutan dengan sistem pengesanan kenderaan terkini untuk memantau pergerakan trak dan produk yang dihantar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Treler tirai tepi
Treler tirai tepi

 

FGV menambah 15 unit treler tirai tepi (45kaki) untuk memenuhi keperluan industri barangan pengguna cepat laris (FMCG) yang akan ditempatkan di depot Shah Alam, Pelabuhan Klang, Pasir Gudang, Johor dan Kuantan.

Kenderaan tersebut mampu memuatkan hingga 22 palet dengan kapasiti 20 hingga 40MT bergantung kepada jenis produk.

Jelas Haris, pihaknya turut merancang untuk memiliki 15 unit treler tirai tepi lain pada akhir tahun nanti.

Trak Pembuangan
Trak Pembuangan

 

"Kami juga tambah 15 unit trak pembuang untuk memenuhi keperluan perniagaan logistik di kawasan pelabuhan. Trak ini dapat mengangkut antara 18 hingga 20MT barang seperti baja, gula mentah, isirung sawit dan sebagainya.

"FGV juga menambah lima trak baharu bagi pengangkutan metil ester sawit (bahan campuran untuk penghasilan biodisel- PME). Penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan trak PME kepada sembilan buah dengan kapasiti 350MT yang sedia untuk digunakan di jalan raya akhir Julai ini," katanya lagi.

Menariknya juga, FGV Transport telah berjaya memperoleh lesen pengangkutan bahan api di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang merupakan lesen wajib bagi semua syarikat pengangkutan yang terlibat dalam PME dan biodisel. - DagangNews.com