3 Disember setiap tahun diumumkan sebagai Hari Batik Malaysia - PM | DagangNews Skip to main content

3 Disember setiap tahun diumumkan sebagai Hari Batik Malaysia - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan 3 Disember setiap tahun sebagai Hari Batik Malaysia bermula tahun ini.

 

Beliau berkata, kerajaan berharap menerusi pengisytiharan tersebut, ia akan menggalakkan semua termasuk pihak swasta termasuk masyarakat berbilang kaum untuk memakai batik Malaysia.

 

Perdana Menteri berkata, usaha itu bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia dengan seluruh rakyat berbilang kaum bersatu hati dalam menggayakan keunikan dan keindahan batik tempatan.

 

“Saya percaya pengisytiharan hari tersebut juga dapat menjadi pemangkin kepada pemerkasaan industri kraf batik tempatan dan rantaian pengeluaran batik negara,” katanya menerusi ucapan khas disiarkan melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) di saluran TV1 dan media sosial malam ini.

 

Ismail Sabri berkata, pemilihan tarikh itu yang dipersetujui Jemaah Menteri pada 26 November lepas dan adalah sebagai tanda penghargaan atas sumbangan, sokongan serta minat dalam kraf batik ditonjolkan Allahyarhamah Tun Endon Mahmood, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia Kelima, Tun Abdullah Badawi.

 

Perdana Menteri berkata, pada tarikh sama pada 2003, Allahyarhamah telah memulakan sebuah gerakan Malaysian Batik-Crafted for the World untuk membawa batik tempatan ke persada antarabangsa. 

 

Dalam pada itu, Ismail Sabri  turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelancongan dan Budaya (MOTAC) atas usaha jitu dalam merealisasikan hari bersejarah itu.

 

“Saya amat gembira menyaksikan usaha MOTAC melalui Kraftangan Malaysia dalam membangunkan industri kraf batik negara agar terus mampan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran ekonomi global,” katanya.

 

Menurutnya kerajaan juga telah tetapkan setiap hari Khamis sebagai hari pemakaian batik Malaysia untuk semua penjawat awam dan Keluarga Malaysia termasuk di Parlimen. - DagangNews.com