KUALA LUMPUR 14 Jan - Pengendali Internet Exchange (IX) terkemuka dunia, DE-CIX dan penyedia perkhidmatan internet dari Jepun, GLBB, mengumumkan kerjasama yang memberikan pelanggan GLBB akses kepada ekosistem jaringan global DE-CIX.
Perjanjian itu membolehkan pelanggan GLBB Jepun memanfaatkan platform jaringan DE-CIX yang bersifat neutral terhadap pusat data dan pengangkut, yang menawarkan rangkai padan, sambungan awan dan perkhidmatan saling berhubung di tahap perusahaan.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama berkenaan, pelanggan GLBB di Jepun kini boleh berhubung ke DE-CIX Cloud Exchanges di Tokyo dan Osaka, serta platform jaringan teragih DE-CIX ASEAN yang menyediakan akses langsung kepada lebih 100 rangkaian di Asia Tenggara, termasuk penyedia perkhidmatan internet dan awan utama Malaysia.
GLBB yang berpusat di Tokyo, menyediakan perkhidmatan internet sehenti, dari reka bentuk hingga operasi.
Melalui kerjasama dengan DE-CIX, penyedia perkhidmatan internet tersebut memperluaskan portfolio mereka, termasuk peluasan ke pasaran Malaysia, membolehkan syarikat-syarikat Jepun untuk berhubung dengan rangkaian Malaysia, serta memberi manfaat kepada perniagaan dan syarikat Malaysia dengan lebih banyak kepelbagaian dalam platform pertukaran.
Pelanggan GLBB turut memperoleh akses kepada ekosistem global DE-CIX, sekali gus membuka manfaat signifikan untuk perniagaan Malaysia.
Ketua Program Rakan Kongsi Perniagaan Global di DE-CIX, Mareike Jacobshagen berkata, pihaknya gembira kerana GLBB menjadi sebahagian daripada syarikatnya menerusi kerjasama terbaharu itu.
"Perjanjian ini memberi pelanggan GLBB akses ke pelbagai rangkaian di pasaran Asia Tenggara dan membawa mereka terus ke pusat Eropah, dengan akses kepada lebih 1,000 rangkaian tempatan, serantau dan antarabangsa di DE-CIX Frankfurt," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif di GLBB Jepun, Craig Watson berkata, ekosistem saling hubung yang neutral dan terbuka di DE-CIX amat penting bagi kumpulan dan pelanggannya.
"Syarikat-syarikat mendapat manfaat bukan sahaja daripada sambungan langsung kepada lebih 1200 rangkaian di Frankfurt, Singapura, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Manila, tetapi juga daripada akses langsung dan terjamin kepada titik akses tambahan di Tokyo, Osaka, Singapura dan Kuala Lumpur," ujarnya.
Di Malaysia, kehadiran DE-CIX yang semakin berkembang bakal mengubah landskap hubungan digital, sejajar dengan cita-cita Malaysia untuk menjadi hab digital terkemuka melalui inisiatif seperti MyDigital dan Rangkaian Digital Nasional (Jendela).
Dengan memanfaatkan kemudahan global DE-CIX, perniagaan tempatan dapat mempercepatkan penggunaan awan dan mengembangkan operasi mereka untuk memenuhi permintaan ekonomi digital yang semakin berkembang, memastikan Malaysia kekal berdaya saing di pasaran global.
Perusahaan Malaysia kini mempunyai peluang untuk memanfaatkan ekosistem luas itu melalui perkongsian DE-CIX di Asia Tenggara.
Sebagai contoh, Penang IX (PIX) yang dikuasakan oleh DE-CIX dan DE-CIX Jakarta telah dilancarkan pada 2024, menawarkan pasaran Asia Tenggara peluang baharu dalam platform DE-CIX Asia.
DE-CIX menawarkan perkhidmatan saling berhubung di hampir 60 lokasi di Eropah, Afrika, Amerika Utara dan Selatan, Asia Barat dan Asia.
Dengan akses dari pusat data di lebih 600 bandar di seluruh dunia, DE-CIX menghubungkan ribuan pengendali rangkaian (pengangkut), ISP, penyedia kandungan dan rangkaian perusahaan dari lebih 100 negara serta menawarkan rangkai padan, sambungan awan dan perkhidmatan jaringan lain.
DE-CIX di Frankfurt, Jerman, adalah antara IX terbesar di dunia, dengan jumlah data hampir 40 Exabyte setahun pada 2023 dan hampir 1,100 rangkaian yang disambungkan.
Di Asia Tenggara, DE-CIX membina perkongsian di pasaran utama untuk memastikan ekosistem terus berkembang. - DagangNews.com