Media massa digemparkan dengan penjualan produk roti sandwich yang mengandungi ham tetapi tidak memiliki sijil halal yang diperakui oleh JAKIM.
Penggunaan istilah ‘ham’ di Malaysia jelas mengundang kekeliruan dalam kalangan pengguna, terutamanya kerana ia sering dikaitkan dengan budaya makanan di luar negara.
Di luar negara biasanya, ‘ham’ merujuk kepada produk daging khinzir yang telah diproses, biasanya dihiris nipis dan dihidangkan bersama roti sandwic atau salad.
Produk ini sering dijual di pasar raya atau kedai runcit dalam bahagian sejuk beku atau sedia untuk dimakan. Menurut Kamus Merriam-Webster, ‘ham’ secara spesifik merujuk kepada potongan daging bahagian peha, terutamanya dari khinzir yang diternak.
Istilah ‘bacon’ pula merujuk kepada bahagian tertentu (biasanya bahagian yang banyak lemak seperti perut) daging khinzir yang disalai.
Jika produk lain seperti ayam digunakan, ia perlu dijelaskan dengan label yang spesifik seperti ‘chicken bacon’ untuk mengelakkan kekeliruan.
Peraturan Pelabelan Produk Makanan di Malaysia
Dalam industri makanan, pematuhan kepada peraturan yang ditetapkan amat penting bagi memastikan keselamatan pengguna dan ketelusan maklumat pada produk makanan. Salah satu aspek kritikal adalah peratusan bahan yang digunakan dalam produk akhir makanan, yang perlu mengikut standard yang telah digariskan dalam Peraturan Makanan 1985.
Sebagai contoh, jika peratusan isi ayam dalam sesuatu produk kurang daripada kadar minimum yang dibenarkan, istilah seperti ‘chicken bacon’ tidak boleh digunakan sebagai nama produk tersebut. Penggunaan istilah ini akan mengelirukan pengguna yang mungkin menyangka produk tersebut diperbuat sepenuhnya daripada ayam, sedangkan ia mungkin dicampur dengan bahan lain atau menggunakan daging yang tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan.
Selain itu, sekiranya sesuatu produk adalah campuran daripada beberapa jenis daging, pengeluar wajib melabelkan kandungan produk dengan jelas dan telus.
Contohnya, jika produk tersebut mengandungi gabungan daging lembu, ayam, dan khinzir, maklumat ini mesti dinyatakan pada label supaya pengguna dapat membuat keputusan tepat berdasarkan keperluan diet, kepercayaan agama, atau pilihan peribadi mereka.
Di Malaysia, Peraturan Makanan 1985, Seksyen 141 hingga 154, memperincikan keperluan pelabelan produk hasil daging. Namun, tiada pernyataan khusus mengenai produk yang menggunakan istilah seperti ‘ham’ dan ‘bacon’.
Oleh itu, pihak industri makanan bertanggungjawab memastikan produk mereka dilabelkan dengan jelas, mudah difahami, dan tidak mengelirukan pengguna.
Penggunaan Bahasa Malaysia dalam pelabelan adalah mandatori bagi produk keluaran tempatan, seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 10 peraturan yang sama.
Namun, masih wujud segelintir pengusaha makanan yang memilih untuk menggunakan istilah asing tanpa kajian yang mendalam, sekali gus mencetuskan salah faham dalam kalangan pengguna.
Kegagalan mematuhi peraturan yang ditetapkan bukan sahaja membuka ruang kepada tindakan undang-undang seperti denda yang tinggi, tetapi turut menjejaskan reputasi terhadap jenama produk makanan tersebut secara serius.
Malahan, jika fenomena ini dibiarkan berleluasa, ia bukan sahaja akan merosakkan budaya pemakanan Malaysia tetapi juga menghakis identiti unik makanan tempatan. - DagangNews.com