3 saham paling banyak dibeli pelabur asing minggu lalu | DagangNews Skip to main content

3 saham paling banyak dibeli pelabur asing minggu lalu

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Jun - Setelah menjual bersih ekuiti tempatan bagi 22 bulan berturut-turut sejak Julai 2019 hingga April 2021, pelabur asing muncul menjadi pembeli bersih terbesar pada minggu lalu, berakhir 28 Mei 2021. 

 

Berdasarkan laporan aliran dana yang dikeluarkan CGS-CIMB Research, mereka didapati ‘memborong’ saham-saham Public Bank Berhad, Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Press Metal Aluminium Holdings Berhad. 

 

Hasil daripada pembelian itu juga, pelabur asing menjadi penyumbang utama kepada peningkatan mata FBM KLCI sebanyak 2.1% berbanding minggu sebelumnya kepada 1,594 mata.

 

“Mereka merupakan pembeli bersih terbesar dalam sektor-sektor kewangan, telekomunikasi dan media. 

 

“Pelabur asing mungkin membeli saham-saham ini ekoran prestasi suku pertama (syarikat-syarikat berkenaan) yang kukuh,” jelas CGS-CIMB. 

 

Public Bank terus menjadi saham utama yang dibeli oleh pelabur institusi asing untuk minggu yang ketiga, namun dijual bersih oleh pelabur runcit bagi tempoh sama. 

 

TM pula menjadi saham kedua utama yang dibeli bersih oleh pelabur asing, namun paling banyak dijual oleh pelabur institusi tempatan.

 

Secara keseluruhannya, hanya pelabur asing dan runcit menjadi pembeli bersih pada minggu berkenaan, menurut CGS-CIMB. 

 

Tambah firma penyelidikan itu lagi, pelabur asing meningkatkan pembelian ekuiti mereka kepada RM190.2 juta berbanding RM32.4 juta pada minggu sebelumnya.

 

Walau bagaimanapun, pemegangan asing dalam ekuiti Malaysia tidak berubah bagi perbandingan bulan ke bulan pada kadar 20.3% setakat penghujung April 2021, iaitu paras terendah yang dicatatkan pada Mei 2010.

 

Baca : Pegangan asing dalam ekuiti Malaysia terendah sejak 2010

 

Setakat ini, pelabur asing telah menjual bersih RM3.1 bilion nilai ekuiti Malaysia, jelas CGS-CIMB lagi.

 

“Purata jumlah dagangan harian meningkat 17% berbanding minggu sebelumnya kepada 7.6 bilion unit. 

 

“Sementara itu, purata nilai dagangan harian melonjak 20% berbanding minggu sebelumnya kepada RM4.7 bilion,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com