3 strategi dorong Power Root capai keuntungan | DagangNews Skip to main content

3 strategi dorong Power Root capai keuntungan

Power Root Bhd.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Syarikat makanan dan minuman, Power Root Bhd. (Power Root) dilihat akan memberi tumpuan kepada tiga strategi utama untuk mencapai keuntungan syarikat.

 

CGS-CIMB Research berkata, strategi berkenaan adalah sebagai jalan untuk mencatatkan prestasi pemulihan selepas syarikat berkenaan mengalami penurunan jualan dan keuntungan.

 

"Kami percaya bahawa Power Root akan menumpukan kepada tiga strategi utama untuk mendorong syarikatnya mencapai keuntungan.

 

"Strategi berkenaan ialah pelancaran produk baharu, pengembangan ke pasaran baharu dan peningkatan kecekapan operasi," jelas CGS-CIMB Research.

 

Mengulas lanjut, CGS-CIMB Research memberitahu, pihaknya turut mengakui bahawa syarikat berkenaan akan melancarkan lebih banyak produk baharu dalam pelbagai format minuman dan harga untuk menarik perhatian pengguna dengan lebih meluas.

 

Dalam pada itu, Power Root juga merancang untuk menembusi pasaran baharu selain Timur tengah dan Afrika Utama (MENA) seperti Mesir.

 

Syarikat berkenaan juga akan meningkatkan margin melalui tahap kecekapan tenaga kerja dan pengurangan pembaziran.

 

Power Root mencatatkan nilai keuntungan bersih berjumlah RM8.7 juta pada suku kedua tahun kewangan 2021.

 

Jumlah itu menjadikan keuntungan bersih bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2021 berjumlah RM19.7 juta.

 

Keuntungan bagi kedua-dua tempoh berkenaan masing-masing menurun -34.3% dan -22.2% berbanding tahun sebelumnya.

 

Berdasarkan penilaian suku tahunan, pendapatan dan keuntungan bersih bagi suku kedua tahun kewangan 2021 masing-masing menurun 5.1% dan 20.1% diheret oleh penurunan jualan eksport, perbelanjaan operasi yang lebih tinggi dan skala ekonomi yang lebih rendah.

 

Selain sentimen pengguna yang lebih akibat COVID-19, jualan eksport turut merosot disebabkan oleh kekurangan permintaan dari Arab Saudi dan UAE susulan kenaikan kadar cukai nilai tambah (PPN) di kedua-dua negaara berkenaan kepada 15% sejak Julai lalu.

 

"Dengan keputusan pada separuh pertama tahun kewangan 2021 yang berada di bawah jangkaan kami, kami menurunkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) Power Root sebanyak 3.6% hingga 11.7%.

 

"Kami mengekalkan saranan 'tambah' saham Power Root dengan harga sasaran sesaham (TP) yang lebih tinggi bernilai RM2.80," ujar CGS-CIMB Research. - DagangNews.com