3 syarikat dikesan gagal patuh perundangan BNM | DagangNews Skip to main content

3 syarikat dikesan gagal patuh perundangan BNM

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Bank Negara Malaysia (BNM) telah menambah tiga buah syarikat ke dalam senarai Amaran Kewangan Pengguna atau Financial Consumer Alert.

Ketiga-tiga syarikat itu adalah Fincorp, Mesra Capital Group dan World Trade Center Investment Ltd.

“BNM telah mengemaskini senarai Amaran Kewangan Pengguna.

“Senarai ini mengandungi syarikat dan laman web yang tidak dibenarkan atau diluluskan di bawah undang-undang dan kawal selia berkaitan oleh BNM. 

“Sila ambil maklum bahawa senarai itu tidak menyeluruh dan hanya bertindak sebagai panduan kepada orang awam berdasarkan maklumat dan pertanyaan yang diterima BNM,” jelas institusi itu menerusi laman web miliknya. 

Berdasarkan laman web Mesra Capital Group, syarikat itu menawarkan platform pelaburan secara automatik dan teknologi kewangan. 

Bagaimanapun, kedua-dua maklumat syarikat Fincorp dan World Trade Center Investment Ltd. berdasarkan pautan laman web yang didedahkan BNM, tidak dapat ditemui.

Setakat ini, terdapat 448 buah syarikat yang disenaraikan dalam Amaran Kewangan Pengguna oleh BNM. - DagangNews.com