KUALA LUMPUR 18 Mac - Tiga syarikat telekomunikasi di negara ini iaitu Celcom Axiata Bhd (Celcom), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dan Maxis Bhd (Maxis) memuktamadkan perjanjian bersama bagi membangun dan berkongsi infrastruktur fiber.
Perjanjian itu juga bertujuan untuk menyalurkan rangkaian fiber ke stesen pangkalan dengan lebih cepat dan berkesan serta mengelakkan pertindihan infrastruktur fiber di negara ini, seperti dilapor Bernama.
Dalam kenyataan bersama pada Khamis, syarikat-syarikat telco itu berkata, kerjasama berkenaan membolehkan peningkatan sambungan 4G kepada seluruh rakyat Malaysia dan menambahkan infrastruktur fiber negara seiring aspirasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) serta mempersiapkan infrastruktur menara untuk rangkaian 5G pada masa depan.
Bagi mempercepat pelaksanaan bersama, ketiga-tiga operator itu memberitahu, mereka menggabungkan kepakaran dalam merancang, membangun, menugaskan,mengoperasikan dan menyelenggara infrastruktur berkaitan fiber di seluruh negara.
Malah, mereka juga akan berusaha mempergiatkan perkongsian infrastruktur fiber dan meningkatkan pengaturan pertukaran bersama.
Walaupun teknologi gelombang mikro akan membawa kelebihan dengan pelaksanaan yang pantas, namun, peningkatan infrastruktur fiber membolehkan ketiga-tiga pengendali itu lebih bersedia untuk pertumbuhan trak di internet terutama di kawasan berimpak tinggi.
"Kerjasama ini akan membolehkan industri memperluaskan rangkaian 4G untuk menyokong tapak baharu 5G dan penyaluran fiber ke kediaman, perkongsian infrastruktur, menara dan lebar jalur antara pengendali adalah amalan biasa,” katanya.
Mereka berkata, Celcom, Digi dan Maxis telah terlibat dalam perkongsian infrastruktur fiber sejak 2005 dengan kapasiti bandwith sebagai permulaan perkongsian kabel fiber pada 2010, sementara perkongsian menara juga telah diadakan sebelum tahun 2000.
Pengumuman itu dibuat setahun selepas ketiga-tiga syarikat telekomunikasi itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memanfaatkan sumber daya satu sama lain untuk menyalurkan rangkaian fiber yang lebih luas dan efisien, menunjukkan pencapaian terbaik dalam memajukan Malaysia menuju negara digital dengan penyediaan sambungan digital berkualiti di seluruh negara.
Tambahan pula, syarikat telekomunikasi itu berkata, ketika Malaysia mempercepatkan penggunaan 5G sebagai sebahagian daripada visi MyDigital, infrastruktur fiber diperlukan untuk menyampaikan petunjuk prestasi utama 5G - latensi rendah, kelajuan data yang lebih tinggi, kebolehpercayaan tahap tinggi dan keupayaan menguruskan lebih banyak peranti yang disambungkan.
Kerjasama fiber itu akan berlangsung selama 20 tahun dan perancangan sedang berjalan dengan baik untuk persiapan membina dan menukar pengaturan yang dijangka akan berlaku selepas itu, katanya.
Operator lain juga mungkin memanfaatkan peluang untuk memanfaatkan kapasiti jaringan tambahan daripada 3 telekomunikasi tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom, Idham Nawawi berkata, perkongsian itu menandakan pencapaian penting bagi Celcom dalam memacu cita-citanya ke arah memberikan pengalaman rangkaian yang hebat dan konsisten untuk semua rakyat Malaysia dan juga akan menghasilkan kecekapan kos yang lebih tinggi untuk pelancaran dan perkhidmatan infrastruktur rangkaian di seluruh negara, menyokong permintaan jumlah trak yang terus meningkat.
CEO Digi, Albern Murty pula berkata, perkongsian itu akan mewujudkan peluang untuk mengelakkan pertindihan infrastruktur dan membolehkan pertumbuhan kapasiti rangkaian mudah alih yang lebih pantas melalui penyeragaman tapak yang cekap.
Bagi CEO Maxis, Gokhan Ogut berkata, syarikat itu tetap komited untuk memainkan peranan dalam menyokong aspirasi digital negara. - DagangNews.com