KUALA LUMPUR 23 Feb - Sebanyak 34% atau satu pertiga daripada pekerja di Asia Tenggara akan mencari pekerjaan baharu jika dipaksa kembali ke pejabat sepenuh masa, menurut kajian Qualtrics.
Trend Pengalaman Pekerja Qualtrics 2022 mendedahkan, sistem cara kerja hibrid merupakan pilihan pekerja buat masa ini, selain memilih untuk bekerja tiga hari di luar dan dua hari di pejabat.
Salah satu cabaran paling mendesak bagi majikan dalam peralihan kepada hibrid adalah mengutamakan kesejahteraan pekerja jangka panjang dan menetapkan garis panduan yang jelas untuk cara bekerja.
Walaupun negara-negara di Asia Tenggara melaporkan tahap kesejahteraan tertinggi di seluruh dunia, terdapat penurunan dalam daya tahan pekerja sepanjang 12 bulan yang lalu.
Thailand khususnya telah mengalami penurunan daya tahan sebanyak 12%. Ini menunjukkan tahap kesejahteraan semasa adalah tidak mampan melainkan majikan memberi tumpuan kepada meningkatkan daya tahan dalam kalangan pasukan mereka.
Meningkatkan pengalaman teknologi untuk pekerja dalam persekitaran hibrid juga harus menjadi tumpuan strategik pada tahun 2022.
Hanya 30% responden berkata teknologi yang disediakan memenuhi jangkaan mereka dengan angka serendah 24% di Singapura.
Selain membantu mendorong produktiviti, penyelidikan Qualtrics menunjukkan pekerja berpuas hati dengan teknologi yang tersedia berkemungkinan adalah empat kali lebih terlibat di tempat kerja.
Walaupun niat pekerja untuk kekal dengan majikan adalah lebih tinggi di Asia Tenggara berbanding purata global, di kebanyakan negara terdapat penurunan dalam bilangan pekerja yang merancang untuk kekal dengan majikan semasa mereka tahun ini.
Penemuan menunjukkan bahawa 7 daripada 10 pekerja di Thailand, Indonesia, Malaysia, dan Filipina akan tetap dengan pekerjaan mereka tahun ini, berbanding 53% di Singapura.
Pakar Strategi Penyelesaian Pengalaman Pekerja untuk Qualtrics India, Lauren Huntington berkata, untuk berjaya menavigasi peralihan kepada hibrid dan bersaing secara berkesan dalam perlumbaan untuk bakat, perniagaan di seluruh Asia Tenggara mesti terus menerima pakai minda baharu dan menentukan serta mengulangi cara mereka bekerja.
"Seperti yang dilihat dalam penyelidikan Qualtrics, menangani cabaran yang dihadapi tidak semudah menetapkan jadual kerja baharu atau meningkatkan penglibatan.
"Orang ramai mempunyai keperluan berbeza dalam persekitaran kerja hari ini, bermakna keupayaan untuk mengenal pasti dan bertindak balas dengan cepat dan mudah kepada isu yang mempunyai impak besar dengan alatan seperti Qualtrics merupakan kelebihan ketara,” katanya.
Kajian Qualtrics telah dijalankan antara bulan Ogos dan Disember 2021 dan merangkumi 5,045 responden berumur 18 tahun atau lebih yang bekerja sepenuh masa merentas pelbagai industri di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.- DagangNews.com