36 pendayung sampan terima sumbangan RM25,500 TNB | DagangNews Skip to main content

36 pendayung sampan terima sumbangan RM25,500 TNB

 Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sumbangan, Sabarudin Manaf (kanan) di majlis penyampaian di Dewan Siantan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima sumbangan, Sabarudin Manaf (kanan) di majlis penyampaian di Dewan Siantan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).
 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Seramai 36 pendayung sampan di Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Kuala Selangor yang terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19 menerima sumbangan berjumlah RM25,500 daripada  Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

Menyampaikan sumbangan tersebut, Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek berkata, pihaknya peka dengan keadaan ekonomi pendayung sampan di kampung berkenaan yang tidak lagi menerima kedatangan pengunjung seperti dahulu.

 

"Sebagai melaksanakan tanggunjawab sosial, TNB menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka yang terjejas agar dapat bangkit semula dengan lebih kuat apabila keadaan mengizinkan," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sumbangan yang dibuat pada 17 Disember baru-baru ini disampaikan di Dewan Siantan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS). 

 

Turut hadir bersama Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat.

 

Kerjasama TNB bersama kerajaan Negeri Selangor, khususnya MDKS bermula pada 2005 menerusi perjanjian persefahaman (MoU) yang menggariskan pemuliharaan populasi kelip-kelip untuk mengelakkan kepupusan akibat pencemaran.

 

Kampung berkenaan juga telah menjadi kampung angkat TNB selaras dengan keprihatinan TNB terhadap masyarakat setempat dan alam sekitar bagi manfaat generasi akan datang.

 

Sejak 2007 sehingga kini, sebanyak RM5 juta telah disalurkan bagi tujuan pembangunan infrastuktur, promosi dan publisiti serta pembangunan ekonomi Kampung Kuantan.

 

Manakala RM2.8 juta telah diperuntukkan bagi tempoh 2017 hingga 2020 untuk tujuan Penyelidikan & Pembangunan (R&D) habitat kelip-kelip.

 

Usaha berterusan TNB tersebut berhasil membawa peningkatan bilangan pelancong ke Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan, sekali gus meningkatkan pendapatan pendayung, selain pemuliharaan habitat kelip-kelip. - DagangNews.com