Tune Protect dijangka tamatkan 2024 dengan keuntungan dipacu pemulihan pada 3Q, kata TA Securities | DagangNews Skip to main content

Tune Protect dijangka tamatkan 2024 dengan keuntungan dipacu pemulihan pada 3Q, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Dis - Penyedia insurans perjalanan, Tune Protect Group Bhd dijangka mengakhiri 2024 dengan keuntungan berikutan pemulihan baru-baru ini sebelum mencatatkan lonjakan positif pada 2025, kata TA Securities.

 

Katanya, hasil bagi suku tahun terakhir ini akan didorong musim perjalanan puncak dan langkah penjimatan kos.

 

Firma penyelidikan itu merupakan satu daripada hanya dua syarikat penyelidikan yang membuat liputan terhadap Tune Protect, mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran 48 sen sesaham.

 

"Melangkah ke suku keempat, mereka menjangkakan berlaku peningkatan dari suku tahun ke suku tahun dengan meramalkan Tune Protect menamatkan tahun ini dengan untung bersih sebanyak RM1.6 juta.

 

"Saham Tune Protect jatuh hampir 30% tahun ini apabila syarikat itu, yang juga penyedia insurans rumah dan motor, bergelut dengan kerugian bersih tiga suku tahun berturut-turut kesan peningkatan mendadak dalam perbelanjaan perkhidmatan dan penurunan dalam hasil insurans," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Nisbah gabungan - metrik keuntungan penanggung insurans yang mengukur tuntutan dan perbelanjaan sebagai peratusan premium - mungkin meningkat kepada 97.6% tahun ini berbanding 102.7% pada 2023, menurut TA Securities.

 

Nisbah melebihi 100% menunjukkan kerugian taja jamin syarikat insurans, membayar lebih untuk tuntutan daripada yang diterima daripada premium.

 

Nisbah gabungan itu boleh bertambah baik kepada 93.9% pada 2025, didorong oleh usaha berterusan untuk memanfaatkan ekosistem perjalanan serantau dan inovasi produk, kata TA Securities. Secara keseluruhannya, syarikat itu boleh memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM33.1 juta pada 2025.

 

Firma penyelidikan tu berkata, tiket daripada rakan kongsi syarikat penerbangannya semakin banyak dijual melalui saluran tidak langsung yang membentuk lebih separuh daripada jualan selepas wabak berbanding 39% sebelum pandemik, sepadan dengan kadar pengambilan insurans perjalanan yang agak rendah.

 

Bagaimanapun, TA Securities menjangkakan kadar pengambilan penerbangan jarak dekat antarabangsa daripada saluran rasmi terus meningkat kepada kira-kira 20% daripada kira-kira 15% pada masa ini, didorong pelancaran produk baharu seperti Tune Protect Travel Gadget dan alat tambahan yang digabungkan.

 

Keuntungan bersih bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024 ialah RM5.86 juta, sebahagian besarnya disebabkan pembalikan elaun untuk kerugian rosot nilai dan pendapatan pelaburan.- DagangNews.com