3Q20 : CGS-CIMB jangka Bursa Malaysia raih RM128.2 juta keuntungan bersih  | DagangNews Skip to main content

3Q20 : CGS-CIMB jangka Bursa Malaysia raih RM128.2 juta keuntungan bersih 

 

Oleh NUR ANIS FARHANAH
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Okt. - CGS-CIMB Research menjangkakan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) mampu meraih sehingga RM128.2 juta keuntungan bersih menjelang suku ketiga tahun kewangan 2020 (3Q20). 

Ini sekali gus bakal menyaksikan kadar pertumbuhan syarikat itu melonjak sehingga 172.1% berbanding tempoh sama pada tahun lalu. 

“Penyumbang perolehan utama 3Q20 adalah purata nilai dagangan harian (ADTV) pasaran ekuiti yang kukuh di mana melonjak 200% tahun-ke-tahun, mencecah paras tertinggi RM5.8 bilion pada 3Q20.

“Angka itu meningkat 50% berbanding rekod sebelumnya, RM3.9 bilion pada suku kedua 2020 (2Q20),” jelas analisis CGS-CIMB. 

Dalam pada itu, purata kontrak harian (ADC) bagi pasaran derivatif juga meningkat sebanyak 13.9% pada suku tersebut berbanding tempoh sama pada tahun lalu.  

Bursa Malaysia dijangka mengumumkan keputusan kewangan 3Q20 pada 27 Oktober ini. 

Jika mengambil kira jangkaan keuntungan bersih itu, Bursa Malaysia bakal mencatatkan keuntungan bersih sehingga RM279.1 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama 2020 (9M20). 

Sehubungan itu, CGS-CIMB meningkatkan penarafan saham Bursa Malaysia daripada ‘kurangkan’ kepada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM9.10 daripada RM8.60.

“Jika dibandingkan dengan persaingan di pasaran serantau, kami berpandangan nilai Bursa Malaysia tidak menarik kerana nisbah harga perolehan syarikat itu lebih tinggi daripada Singapore Exchange, walaupun lebih rendah daripada Hong Kong Exchange.  -  DagangNews.com