3Q20: Segmen HORECA heret penurunan keuntungan bersih Nestlé | DagangNews Skip to main content

3Q20: Segmen HORECA heret penurunan keuntungan bersih Nestlé

Nestle

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Syarikat pengeluar produk makanan dan minuman terkenal, Nestlé (Malaysia) Berhad (Nestlé) mencatatkan penurunan jumlah keuntungan bersih untuk suku ketiga 2020 (3Q20).

Keuntungan bersih syarikat berkenaan turun sebanyak -13.8% kepada RM128,39 juta berbanding RM148.99 juta pada suku sama tahun sebelumnya tahun sebelumnya.

Berdasarkan nota kajian CGS-CIMB Research dan MIDF Research hari ini, penurunan berkenaan didorong oleh prestasi kurang baik daripada segmen HORECA (hotel-restoren-kafe) syarikat berkenaan.

Menurut MIDF Research, segmen HORECA dilihat terganggu disebabkan oleh situasi COVID-19 pada suku berkenaan.

Jelasnya, suku berkenaan turut menyaksikan peningkatan kos operasi susulan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat.

Bahagian perniagaan Nestlé Profesional yang menjadi pembekal kepada segmen HORECA turut terjejas teruk akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Bagaimanapun segmen berkenaan dilihat mula pulih setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Permulihan (PKPP) yang dijalankan sejak Jun lalu.

"Kami jangkakan segmen ini akan tetap berkurangan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang dan kawasan lain yang terjejas sejak pertengahan Oktober dan dijangka berterusan hingga Disember.

"Oleh itu, kami percaya permintaan akan beralih kepada segmen makanan dan minuman (F&B) kerana semakin ramai orang bekerja dan tinggal di rumah," jelas MIDF Research.

Sementara itu, CGS-CIMB Researh memberitahu, hasil Nestlé untuk suku keempat 2020 dijangka lebih lemah disebabkan oleh segmen HORECA.

Ujar nota kajian itu, prospek pendapatan jangka pendek Nestlé akan tetap lemah meskipun sebahagian besar produk syarikat berkenaan menjadi pilihan pengguna.

"Kami percaya bahawa prospek pendapatan jangka pendek Nestlé akan tetap lemah susulan permintaan dan penjualan yang kurang daripada segmen HORECA.

"Selain itu, pelaksaan semula PKPB, ketidaktentuan ekonomi dan harga yang lebih tinggi untuk komoditi tertentu seperti minyak sawit turut menjadi penyumbang kepada jangkaan itu," ujar CGS-CIMB Research.

Dalam menilai saranan saham syarikat berkenaan, MIDF Research memutuskan untuk mengekalkan saranan 'neutral' saham Nestlé dengan harga sasaran sesaham (TP) sebanyak RM143.90.

Manakala CGS-CIMB Research pula mengekalkan saranan 'kurangkan' saham syarikat berkenaan dengan TP bernilai RM109.10. - DagangNews.com