4 faktor kukuhkan prestasi Kawan Food | DagangNews Skip to main content

4 faktor kukuhkan prestasi Kawan Food

Kawan Food

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Mac. - Syarikat pengeksport dan pengeluar makanan sejuk beku Asia, Kawan Food Berhad (Kawan Food) dilihat mempunyai kelebihan tersendiri untuk terus mengukuhkan kedudukan dan prestasinya.

 

CGS-CIMB Research berkata, prospek dan prestasi syarikat tersebut dipacu oleh empat faktor seperti berikut;

 

  • Prospek pendapatan yang kukuh
  • Permintaan makanan sejuk beku yang tinggi
  • Jenama yang terkenal dalam pasaran produk roti sejuk beku global 
  • Kunci kira-kira yang kukuh bersama tunai bersih berjumlah RM51.1 juta pada akhir suku keempat 2020.

 

Tambah CGS-CIMB Research, syarikat berkenaan turut menjangkakan dapat mencapai prestasi jualan yang lebih kuat pada tahun kewangan 2021.

 

Jangkaan yang dibuat syarikat tersebut didorong oleh permintaan yang lebih tinggi daripada pelanggan runcit sedia ada.

 

Keadaan tersebut juga didorong oleh situasi perintah kawalan pergerakan (PKP) semasa yang mengubah kesedaran pengguna untuk mendapatkan makanan sejuk beku.

 

"Kawan Food juga menjangkakan peningkatan dalam jualan segmen HEROCA (Hotel, Restoren dan Cafe) 
pada tahun kewangan 2021.

 

"Ia seiring dengan peningkatan aktiviti perniagaan yang mula pulih secara beransur-ansur khususnya dalam aspek makanan, minuman dan pelancongan.

 

"Di samping itu, usaha berterusan Kawan Food untuk melancarkan produk baharu bersama pelanggan HORECA juga mampu meningkatkan jualan bagi tempoh jangka panjang," jelas CGS-CIMB Research.

 

CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' saham Kawan Food dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM3.58. - DagangNews.com