4 lagi tapak binaan di Sarawak diarah tutup | DagangNews Skip to main content

4 lagi tapak binaan di Sarawak diarah tutup

Tapak binaan. Gambar hiasan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Sebanyak empat tapak binaan di Sarawak diarahkan tutup serta-merta selepas didapati gagal mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang ditetapkan.

 

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) berkata, hasil pemeriksaan tapak binaan oleh pihaknya di sekitar Kuching dan Betong mendapati tujuh tapak binaan tidak beroperasi, manakala dua tapak binaan beroperasi dengan pematuhan SOP yang ditetapkan.

 

Bagaimanapun, dua lagi tapak binaan telah diarahkan untuk menghentikan operasi serta-merta kerana tidak mematuhi SOP Akta 342.

 

Susulan itu, CIDB Sarawak mengeluarkan tindakan Notis N3E/2021: Pemberhentian Kerja Pembinaan yang dikaitkan dengan pelanggaran kewajipan oleh kontraktor.

 

Bagi operasi di daerah Sibu pula, dua lagi tapak binaan diarahkan menghentikan operasi serta-merta oleh Penguatkuasa CIDB Cawangan Sibu.

 

Arahan tersebut diberikan setelah didapati gagal mematuhi SOP PPN yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Tapak pembinaan berkenaan melakukan kesalahan kerana gagal mempamerkan MySejahtera, gagal mengemukakan senarai nama kehadiran serta semakan suhu pekerja.

 

Jumlah pekerja di tapak binaan juga melebihi 60% seperti yang dibenarkan dalam SOP PPN.

 

Operasi di sekitar daerah Sibu itu melibatkan CIDB Cawangan Sibu serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

Sementara itu, satu tapak pembinaan di Sabah turut dikenakan tindakan penutupan serta-merta tapak pembinaan.

 

"Satu tapak bina telah diarahkan untuk menghentikan operasi serta merta oleh Penguatkuasa CIDB Cawangan Sandakan setelah gagal menunjukan kelulusan kebenaran beroperasi tapak MITI dan laporan kesihatan/keputusan pemeriksaan COVID-19 pekerja yang berada di tapak bina serta gagal mematuhi SOP yang ditetapkan oleh KKM.

 

"Kesalahan lain yang didapati ialah kerja yang dilakukan tiada kelulusan MITI, tiada keputusan saringan COVID-19 pekerja dan gagal mempamerkan Permit Sementara Bangunan (rumah kongsi/penempatan pekerja/asrama/CLQ) daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di tapak bina," jelas CIDB.

 

Hingga kini, sebanyak 209 tapak pembinaan diarah tutup sepanjang tempoh PPN sejak 1 Jun lalu.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 59 tapak binaan adalah yang terletak di Sarawak. - DagangNews.com