Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Feb. - AirAsia Group Berhad (AirAsia) berada dalam landasan pemulihan yang tepat apabila empat pasaran rantau utamanya menyaksikan pemulihan dalam kapasiti operasi.
Setakat Disember 2020, empat pasaran utamanya di Malaysia, Thailand, Filipina dan Indonesia menyaksikan pemulihan 60% daripada kapasiti domestik sebelum pandemik COVID-19.
Menurut AirAsia, metrik operasi bertambah baik pada Disember berbanding September 2020 di mana AirAsia Thailand menyaksikan 31% peningkatan penumpang, dua kali ganda penumpang yang diterbangkan oleh AirAsia Filipina.
“Sementara AirAsia Indonesia melipatgandakan jumlah penumpang sehingga 11 kali.
“Penambahbaikan ini menunjukkan lonjakan domestik yang kukuh bagi permintaan perjalanan udara di seluruh operasi pasaran kumpulan syarikat,” jelas AirAsia dalam sebuah kenyataan hari ini.
Bagi tempoh setahun, AirAsia melihat 2020 merupakan tahun ketahanan bagi keempat-empat pasaran itu di mana setiap entiti bekerja keras untuk mengatasi cabaran dan mencatatkan jumlah terkumpul sebanyak 23 juta penumpang.
AirAsia menyasarkan keuntungan daripada operasi syarikat penerbangan yang optimum, ditubuhkan pada tahun 2020, tertumpu pada pemulihan laluan yang paling menguntungkan dan popular selain meneroka peluang untuk meraih syer pasaran pasca COVID-19.
Di pasaran tempatan, AirAsia Malaysia menutup suku keempat 2020 (4Q20) dengan 834,934 penumpang yang menggunakan faktor muatan 72%, walaupun menerima cabaran pada bulan Oktober dan November memandangkan pelaksanaan sekatan perjalanan antara negeri dilaksanakan semula.
Susulan kelonggaran perjalanan pada Disember, jelas AirAsia, permintaan yang tertangguh secara positif menyumbang kepada lonjakan perjalanan domestik.
“AirAsia Indonesia menunjukkan lonjakan semula yang mengukuh pada 4Q20 berdasarkan jumlah penumpang yang meningkat lebih lima kali ganda kepada 389,283 sementara faktor muatan bertambah baik kepada 59%, meningkat 10 mata peratusan daripada 3Q20 memandangkan lebih banyak penerbangan kembali beroperasi dan sekatan perjalanan dilonggarkan.
“Operasi kekal secara domestik dengan paras 93% daripada kapasiti sebelum COVID-19 pada Disember,” tambah AirAsia.
Di pasaran Filipina pula, AirAsia menerbangkan 117,948 penumpang pada 4Q20 dan mencatatkan faktor muatan sebanyak 64%.
Dari segi bulan ke bulan, jumlah penumpang AirAsia di pasaran itu menokok dua kali ganda, sementara kapasiti operasi domestik meningkat sebanyak lima mata peratusan kepada 13% pada Disember berbanding September.
Sementara itu, prestasi AirAsia Thailand pula menunjukkan momentum meningkat pada 4Q20 didorong oleh permintaan perjalanan domestik yang kukuh susulan musim perayaan dan insentif perjalanan diberikan kerajaan.
Menurut kumpulan syarikat itu, operasi di pasaran berkenaan menjangkaui ramalan yang melepasi kapasiti domestik sebelum COVID-19 sebanyak 7%.
“Pada Disember 2020, AirAsia Thailand beroperasi pada 116% daripada kapasiti domestik sebelum COVID-19 berbanding 96% pada September 2020.
“AirAsia Thailand menggunakan 70% pesawatnya pada akhir Disember.
“Lebih daripada 2.8 juta penumpang diterbangkan pada suku berkenaan, meningkat 50% suku ke suku, menyumbangkan kepada faktor muatan sebanyak 74%,” ujar AirAsia lanjut. - DagangNews.com