42% ambil pendekatan 'tunggu dan lihat' beli hartanah | DagangNews Skip to main content

42% ambil pendekatan 'tunggu dan lihat' beli hartanah

Hartanah

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Gelombang ketiga penularan wabak COVID-19 memberi kesan kepada keputusan pembelian hartanah negara sekali gus meletakkan sentimen pembelian hartanah di negara ini dalam keadaaan berhati-hati.

 

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, 42% rakyat Malaysia mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' bagi tempoh setahun hingga 2 tahun sebelum membuat keputusan pembelian hartanah.

 

Sheldon Fernandez
Sheldon Fernandez 

 

"42% ambil keputusan tunggu dan lihat dengan harapan akan adanya tawaran yang lebih baik pada masa hadapan.

 

"Ramai yang menjangkakan harga rumah akan terus turun kerana pemaju mengubah suai strategi harga dengan melancarkan lebih banuak rumah mampu milik.

 

"Dengan adanya lebih banyak hartanah mampu milik di pasaran, pemilik hartanah terpaksa mengurangkan harga permintaan dan seterusnya menyebakan trend harga hartanah dalam pasaran sekunder akan menjadi lebih mendatar," jelasnya.

 

Peratusan yang dicatatkan dalam Kajian Sentimen Pengguna H1 2021 itu turut menyatakan sebanyak 35% responden yang berusia 22 hingga 29 tahun meluahkan hasrat untuk memiliki hartanah.

 

.

 

Pada mereka, pasaran hartanah kini dilihat lebih memihak kepada pengguna disebabkan oleh kadar faedah yang paling rendah dalam sejarah, insentif lanjutan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) dan harga serta pakej pembelian yang lebih menarik.

 

Indeks sentimen pengguna dalam pasaran hartanah turut menunjukkan peningkatan daripada 39 mata pada separuh kedua 2020 kepada 42 mata pada separuh pertama 2021.

 

Peningkatan tersebut didorong oleh tahap kepuasan hartanah semasa, jangkaan positif terhadap persekitaran hartanah, kadar faedah yang memuaskan, gambaran positif usaha kerajaan dan jangkaan harga yang memuaskan.

 

Mengulas berkaitan cabaran pemilikan rumah, beliau memberitahu, 52% responden meluahkan kesukaran mengeluarkan sejumlah wang untuk bayaran pendahuluan.

 

Selain itu, faktor lain turut disumbang oleh  ketidakstabilan pekerjaan (46%), tidak biasa dengan proses permohonan (33%), sejarah kredit kewangan lemah (27%) dan kekurangan dokumen sokongan (25%) menjadi halangan utama untuk mendapatkan pinjaman perumahan.  

 

Tambahnya, walaupun wujud kesukaran jangka pendek sepanjang tempoh tidak menentu ini, ekonomi Malaysia dipercayai akan mula pulih dan sektor hartanah akan kembali bertumbuh pada separuh kedua 2021 selepas program vaksinisasi mula dilaksanakan. 

 

“Pasaran hartanah diramalkan kembali pulih perlahan-lahan pada 2021, dipacu oleh gambaran ekonomi lebih baik dan persekitaran kadar faedah terendah pernah berlaku dalam sejarah negara. 

 

“Ini digambarkan dalam keputusan terbaru Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75%, ketika bank pusat itu terus melihat berlaku pemulihan dalam ekonomi global. Bagaimanapun, risiko kekal wujud dalam ketidaktentuan persekitaran disebabkan pandemik COVID-19. 

 

"Peningkatan jualan dalam pasaran hartanah juga dijangka berlaku pada separuh pertama 2021 kerana Kempen Pemilikan Rumah (HOC) akan tamat pada 31 Mei 2021,” katanya. - DagangNews.com