45 Pasar Segar Terkawal catat jualan RM42.25 juta | DagangNews Skip to main content

45 Pasar Segar Terkawal catat jualan RM42.25 juta

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 Julai - Sebanyak 45 buah Pasar Segar Terkawal (PST) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM42.25 juta bagi tempoh 1 Jun hingga 3 Julai 2021.

 

Jumlah jualan PST terus meningkat berbanding RM23.61 juta bagi tempoh hingga 19 Jun 2021.

 

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, jumlah berkenaan melibatkan seramai 2,154 usahawan tani di seluruh negara.

 

"Selain daripada pelaksanaan program MAFI Prihatin, bagi memastikan kelancaran dan kelangsungan rantaian bekalan serta pemasaran makanan, MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) melalui FAMA juga telah mewujudkan 45 buah PST yang melibatkan seramai 2,154 usahawan tani di seluruh negara. 

 

"Bagi tempoh 1 Jun–3 Julai 2021, PST telah berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM42.25 juta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

.

 

Beliau hari ini menyampaikan bantuan MAFI Prihatin kepada 300 barisan petugas hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).

 

Penyerahan bantuan berkenaan disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif MITEC, Mala Dorasamy.

 

Turut hadir, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli; Pengurus PPV MITEC, Dr. Nurul Ashikin Shokri dan Ketua Penyelaras PPV MITEC, Mohd Zaki Mat Noor.

 

Sumbangan yang disampaikan merupakan hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan yang merupakan kesinambungan program MAFI Prihatin yang bertujuan membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19.

 

Terdahulu, sebanyak 1,400 sumbangan MAFI Prihatin turut diserahkan di Hospital Sungai Buloh kepada petugas barisan hadapan negara. - DagangNews.com