450 pengunjung lakukan saringan kesihatan hari pertama Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia | DagangNews Skip to main content

450 pengunjung lakukan saringan kesihatan hari pertama Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia

KOTA KINABALU 21 Mei - Seramai 450 pengunjung membuat saringan kesihatan percuma di ruang Pameran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) pada hari pertama program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

 

Pegawai Promosi Kesihatan, Sektor Promosi Kesihatan, JKNS, Ervinna Marie Donny berkata, sepanjang program berkenaan, pengunjung boleh mendapatkan saringan perubatan secara percuma.

 

Katanya, pengunjung boleh segera mendapatkan keputusan ujian dalam tempoh beberapa minit hasil kaedah ujian pantas (rapid test).

 

“Disamping itu, promosi mengenai kepentingan menjalani saringan HIV oleh petugas kesihatan mendapat sambutan paling ramai sepanjang program ini diadakan.

 

“Selain itu, ruang pempamer ini juga menyediakan perkhidmatan saringan kecergasan, saringan kesihatan untuk tekanan darah, BMI dan kesihatan mental,” katanya kepada DagangNews.Com.

 

Ervinna berkata, JKNS turut menyediakan perunding cara pemakanan dan penjagaan kesihatan pergigian secara percuma kepada pengunjung.

 

akm
Ervinna Marie Donny

 

Katanya, pameran tiga hari itu berkonsepkan empat teras dibawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang dilancarkan pada 11 November 2021 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

akm

 

“ANMS adalah tawaran baharu kerajaan yang bertujuan menjadikan rakyat Malaysia Sihat Sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong hidup sihat,” katanya.

 

akm

 

Sementara itu, Ervinna berkata, sepanjang tiga hari program berkenaan, pengunjung juga boleh mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak, dewasa dan warga emas.

 

akm

 

Katanya, pihaknya turut menyediakan pemeriksaan kelayakan Peka B40 secara percuma dan secara ‘walk-in’. -DagangNews.Com