4G ditambah baik bantu peralihan rangkaian 5G, kata SKMM | DagangNews Skip to main content

4G ditambah baik bantu peralihan rangkaian 5G, kata SKMM

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Sasaran awal untuk melancarkan capaian 5G pada suku ketiga 2020 ditangguhkan memandangkan kerajaan kini menumpukan penambahbaikan rangkaian 4G sedia ada.

Liputan 4G yang lebih baik akan menjadi asas kukuh untuk memastikan 5G dapat dilancar dengan cekap dan berkesan. 

Salah satu sasaran utama adalah untuk mengembangkan liputan 4G daripada 91.8% kepada 96.9% dalam fasa pertama Jendela (2020-2022), menurut laporan SoyaCincau. 

Mengulas mengenai keperluan spektrum, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) memberitahu bahawa semua syarikat telekomunikasi perlu memperluas liputan mereka menggunakan sumber sedia ada. 

Ini memberi gambaran bahawa tiada peruntukan spektrum baharu dan semua penyedia perkhidmatan perlu memanfaatkan spektrum sedia ada untuk menambahbaik 4G. 

Dalam pada itu, operator boleh mengguna semula spektrum 2G atau 3G untuk liputan 4G. 

Ia juga boleh digunapakai untuk spektrum 700MHz, di mana operator boleh menggunakan 4G, 5G atau kedua-duanya serentak menerusi Perkongsian Spektrum Dinamik (DSS).

Setakat ini, spektrum 70MHz masih belum diberikan kepada mana-mana operator mudah alih dan masih awal untuk menentukan sama ada diperuntukkan secara langsung kepada syarikat telekomunikasi atau konsortium. 

Memandangkan rangkaian 3G bakal dihapuskan pada akhir 2021, SKMM menggesa syarikat telekomunikasi untuk menggunakan sepenuhnya jalur 2100MHz sebagai langkah menguatkan liputan 4G.

Dalam masa sama, kerajaan mempercepat peningkatan hubungan untuk kedua-dua rangkaian gentian optik dan 4G.

Setakat ini, 3G mempunyai 1.74 juta pengguna di seluruh negara dan mereka perlu berpindah ke peranti 4G pada hujung tahun depan. 

Sehubungan itu, syarikat telekomunikasi bakal memperkenalkan inisiatif baharu untuk menggalakkan penukaran 3G ke 4G. - DagangNews.com