50 usahawan Perak jana pendapatan RM7.4 juta hasil program bimbingan perniagaan tajaan kerajaan negeri | DagangNews Skip to main content

50 usahawan Perak jana pendapatan RM7.4 juta hasil program bimbingan perniagaan tajaan kerajaan negeri

Salbiah melihat sebahagian produk usahawan yang menyertai program bimbingan perniagaan.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 16 Jan - Program bengkel perniagaan, Business Fundamental Mastery berjaya meningkatkan pendapatan usahawan negeri Perak sehingga RM7.4 juta menerusi sesi bimbingan khusus yang diadakan.

 

Ia melibatkan 50 usahawan yang mana sebelum menyertai program tersebut cuma menjana pendapatan terkumpul sebanyak RM1.2 juta sahaja.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Salbiah Mohamed berkata, inisiatif kerajaan negeri ini menunjukkan hasil positif.

 

Menurut beliau, program dengan kerjasama Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) itu satu inisiatif baik untuk membantu dan mengupayakan usahawan.

 

Usahawan
Salbiah (tengah) bersama sebahagian daripada 50 usahawan yang menyertai program bimbingan Business Fundamental Mastery dengan sijil penyertaan masing-masing.

 

“Pada sesi pertama yang diadakan tahun lalu, seramai 230 peserta terpilih mengikuti program tersebut sebelum 50 peserta terbaik dipilih pada fasa seterusnya.

 

“Mereka diberi bimbingan tentang perniagaan secara secara personal selama empat bulan oleh mentor profesional.

 

“Hasil bimbingan, pendapatan 50 usahawan ini meningkat kepada RM7.4 juta secara keseluruhan. Ini satu kejayaan yang amat membanggakan," katanya.

 

Salbiah berkata, program tersebut membuktikan kejayaan apabila para usahawan mendapat bimbingan secara eksklusif dalam memperkemaskan perniagaan masing-masing.

 

Katanya selain Pasak, penglibatan semua agensi keusahawanan di bawah kerajaan negeri Perak turut memainkan peranan menjayakan program tersebut.

 

Usahawan

 

“Menjadi matlamat kerajaan negeri untuk membantu para usahawan meningkatkan perniagaan mereka yang mana ini menyumbang kembali kepada ekonomi negeri.

 

“Pelbagai pendekatan yang telah terbukti berkesan akan kita guna untuk membantu para usahawan,” ujarnya. - DagangNews.com