55 penandatangan cadangan penubuhan BMA tidak semestinya bakal menganggotainya, kata Nazir | DagangNews Skip to main content

55 penandatangan cadangan penubuhan BMA tidak semestinya bakal menganggotainya, kata Nazir

KUALA LUMPUR 29 Nov - Tokoh perbankan, Datuk Seri Nazir Razak menjelaskan bahawa cadangan penubuhan `the Better Malaysia Assembly' (BMA) merupakan sebuah platform demokrasi perundingan (deliberative democracy) yang menjadi ciri penting demokrasi di banyak negara kebelakangan ini.

 

Beliau berkata, kaji selidik OECD baru-baru ini, mendapati 289 platform sedemikian di beberapa negara untuk membantu kerajaan dan parlimen menangani isu jangka panjang yang rumit.

 

Oleh demikian kata beliau, BMA merupakan platform yang sesuai beroperasi dalam struktur proses demokrasi Malaysia.

 

Mengenai warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Nazir berkata, ia merupakan cadangan untuk mewujudkan BMA dan disokong oleh 55 orang penandatangan.

 

''Tiada sebarang anggapan bahawa mereka semua, malah seorang pun dalam kalangan mereka bakal menjadi anggota BMA.

 

''Warkah tersebut secara jelas menyatakan pemilihan anggota perhimpunan BMA harus mengikut proses yang melibatkan Perdana Menteri, Ketua Pembangkang, dan masyarakat sivil. Proses tersebut dipercayai dapat menghasilkan corak keanggotaan yang mencerminkan masyarakat Malaysia.

 

''Penandatangan warkah kepada Baginda YDPA merupakan sekumpulan warga Malaysia daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan pandangan yang bersuara bersatu demi kepentingan nasional.

 

''Malah, beberapa orang penandatangan pada awalnya enggan berkongsi platform yang sama dengan mereka yang lain,'' katanya.

 

Nazir berkata, mereka akhirnya mampu mengatasi keresahan tersebut demi kepentingan negara, dan ini selaras dengan prinsip demokrasi perundingan iaitu golongan yang bertentang pandangan dapat berbahas secara sivil untuk mencapai penyelesaian dan ruang kompromi.

 

''Walaupun kami mengalu-alukan sokongan ahli politik dan parti politik untuk cadangan ini, kami terus tegas dalam mengekalkan BMA sebagai projek bebas daripada kesemua parti politik,'' katanya.

 

''Malaysia kini berdepan dengan saat-saat paling mencabar dalam sejarah negara dan saya percaya kita akan menghampakan negara serta generasi masa hadapan sekiranya kita tidak memberikan cadangan seperti BMA pertimbangan yang terperinci dan sewajarnya.

 

''Saya juga berharap cadangan BMA dapat menerima komen dan pandangan daripada orang ramai di www.mybettermalaysia.com,'' katanya.