KUALA LUMPUR 23 Nov – Kaji Selidik Impak Pandemik Terhadap Perlindungan yang dijalankan Zurich Malaysia mendapati 59% daripada pemandu di negara ini masih tidak mempunyai perlindungan yang mencukupi terhadap kerosakan akibat banjir.
Ketua Negara Zurich Malaysia, Junior Cho berkata, pengguna jalan raya mungkin mengalami kerugian besar jika mereka tidak bersedia dan beranggapan bahawa mereka tidak akan terjejas.
Katanya, dapatan ini membimbangkan kerana Malaysia kerap mengalami musim tengkujuh, seperti musim Monsun Timur Laut yang melanda dari November hingga Mac tahun depan.
"Selain banjir, tanah runtuh dan pokok tumbang juga adalah antara risiko yang tidak bersedia dihadapi pengguna jalan raya di negara ini.
"Hanya satu bagi setiap tiga pengguna jalan raya, iaitu 34% mempunyai perlindungan untuk ribut, termasuk pokok tumbang, dan hanya 29% dilindungi untuk tanah runtuh," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dijalankan pada September 2021, kaji selidik tersebut melibatkan 1,201 rakyat Malaysia di seluruh negara, di mana 990 daripadanya adalah pemilik kenderaan.
Ia merupakan usaha Zurich Malaysia untuk memahami landskap pengguna tempatan dan mereka bentuk pelan perlindungan yang sesuai dengan keperluan gaya hidup supaya dapat membina masa depan yang lebih cerah bersama.
Menerusi kaji selidik ini juga didapati dari segi pembaharuan insurans dan takaful kenderaan, rakyat Malaysia masih menggunakan ejen untuk berbuat demikian.
Daripada 990 responden yang memiliki kenderaan bermotor, 38% memilih untuk menggunakan ejen walaupun terdapat portal dalam talian.
Namun begitu, menurut Cho, portal dalam talian adalah kaedah yang paling popular dengan 43% daripada pengguna jalan raya menggunakannya sekali gus menunjukkan kepentingan teknologi dalam pasaran hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, 16% daripada rakyat Malaysia memilih untuk mengunjungi kios atau pejabat pos bagi memperbaharui insurans atau takaful kenderaan mereka.
Dari segi perlindungan insurans dan takaful kenderaan, trend yang perlu diberi perhatian ialah kebanyakan rakyat Malaysia memilih pelan yang meliputi semua pemandu (36%), dan bukannya hanya pemandu yang dinamakan dalam polisi (34%).
"Sebenarnya, ini amat berguna jika pemilik kereta berada di dalam kenderaan tetapi tidak memandu, seperti mengambil gilaran untuk memandu dalam perjalanan rentas negeri yang panjang," tambahnya.
Beliau berkata, sesetengah rakyat Malaysia mungkin mendapatkan perlindungan semata-mata untuk memiliki insurans atau takaful kenderaan yang sah supaya dapati memperbaharui cukai jalan.
"Ini kerana 47% daripada responden melaporkan mereka tidak pasti kandungan pelan perlindungan mereka," jelasnya lagi. - DagangNews.com