5G lewat kerana syarikat telekomunikasi utamakan kawasan penduduk padat - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

5G lewat kerana syarikat telekomunikasi utamakan kawasan penduduk padat - Muhyiddin


KUALA LUMPUR 19 Dis - Negara agak terlewat dalam melaksanakan 5G kerana syarikat telekomunikasi mempunyai keutamaan yang berbeza, yang hanya berminat untuk menyediakan perkhidmatan 5G di kawasan penduduk padat dengan permintaan yang tinggi.

 

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keadaan itu menyebabkan 'roll out' 5G di luar bandar bandar dengan jumlah penduduk yang rendah dan permintaan yang rendah akan terbantut.

 

Beliau yang merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkata, isu penubuhan Digital Nasional Berhad (DNB) tidak harus dipolitikkan oleh pihak yang sengaja ingin melambat-lambatkan pelaksanaan teknologi 5G untuk kepentingan tertentu.

 

Sebaliknya ujar beliau untuk merangsang pertumbuhan ekonomi masa depan, terutamanya dalam bidang ekonomi digital, kerajaan wajar mempercepat pelan digitalisasi negara yang juga termasuk pelaksanaan jaringan 5G yang menyeluruh di negara ini.

 

"Kerana itu, kerajaan memutuskan untuk menubuhkan DNB yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan untuk mempercepat 'roll out' 5G di seluruh negara dan menawarkan perkhidmatan 5G dengan harga yang murah kepada rakyat, termasuk di luar bandar.

 

"Jadi, janganlah ada pihak yang sengaja ingin melambatkan pelaksanaan 'roll out' 5G untuk kepentingan tertentu dengan mempolitikkan isu DNB.

 

''Saya berasa cukup hairan pihak yang mempertahan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sekarang ingin menyamakan DNB dengan 1MDB.

 

"Tolonglah. Jangan hina kecerdikan rakyat Malaysia," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara, hari ini.

 

Muhyiddin berkata, 1MDB satu skim penipuan terbesar dalam sejarah dunia membabitkan wang puluhan bilion ringgit dipindahkan ke akaun syarikat luar pesisir yang diragui dan kemudiannya hilang.

 

DNB pula kata beliau, ada struktur tadbir urus yang jelas, diurus oleh mereka yang profesional, dana digunakan untuk pembinaan projek infrastruktur oleh syarikat yang berwibawa dan Perdana Menteri tidak menjadi penasihat yang berkuasa besar dalam DNB. - DagangNews.com