6 idea penyelesaian digital diiktiraf MYHackathon KL | DagangNews Skip to main content

6 idea penyelesaian digital diiktiraf MYHackathon KL

MYHackathon KL

Oleh MUHAMMAD ARIF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Sebanyak enam idea penyelesaian digital diiktiraf dan diangkat sebagai pemenang dalam MYHackathon 2020 bagi pusingan Kuala Lumpur.

Kesemua idea berkenaan terdiri daripada tiga pemenang kategori MARATHON dan SPRINT yang telah membangunkan penyelesaian di bawah tema Prihatin Rakyat.

Penyelesaian berkenaan bertujuan memastikan sistem bantuan sokongan kerajaan yang lebih efisien melalui pendigitalan perkhidmatan dengan tiga projek rintis dijadualkan bermula pada tahun 2021. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata,  MYHackathon 2020 pusingan Kuala Lumpur memberi fokus kepada penggunaan inovasi dan teknologi untuk menyalurkan bantuan sokongan kepada golongan yang memerlukan, kurang upaya, miskin bandar, dan warga emas.

 

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin 

 

“Ada yang tidak menerima bantuan sokongan yang sepatutnya serta kesukaran mendapatkan akses kepada maklumat. Kami sedar terdapat borang dan laman web yang boleh diperbaiki agar lebih mesra pengguna. 

Saya dan warga kerja kementerian sedar inovasi serta penggunaan teknologi baharu mampu menjadi pemangkin yang bukan sahaja menyelesaikan isu penyaluran bantuan sokongan, malah ia juga berfungsi sebagai pemecut pemulihan, sekaligus mentransformasikan ekonomi negara. 

"Dengan tema Prihatin Rakyat, pusingan Kuala Lumpur ini penting bukan sahaja kerana ia adalah pusingan pertama, tetapi ia juga merupakan ‘hackathon’ pertama yang inklusif melibatkan penyertaan seluruh negara, di mana penyelesaian digital dihasilkan oleh rakyat untuk kebaikan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Para pemenang berjaya merungkai kesemua pernyataan masalah melalui pembentangan idea penyelesaian mereka yang berfokuskan pendaftaran dalam talian, pengurusan pendaftaran, pengesahan dan pemantauan bantuan kerajaan; pengeluaran bantuan kewangan/bukan kewangan atau bantuan kepada penerima yang layak; pendaftaran dalam talian, pengurusan pendaftaran, pengesahan, kemudahan dan pemantauan bagi orang kurang upaya (OKU); Identiti Digital Nasional; dan untuk warganegara mendapatkan akses maklumat dan perkhidmatan untuk Gerbang Perkhidmatan Dalam Talian Kerajaan (GOSG).

Tiga pemenang di bawah kategori MARATHON yang berjaya akan menerima geran bersyarat hingga RM250,000 untuk menjalankan projek penyelesaian rintis untuk 12 bulan.

Pemenang tersebut ialah Gokula Krishnan Subramaniam dengan projek Vircle Trusted Aid, diikuti dengan Beh Huey Ching dengan projek Malaysia National Digital Identity (MyID) dan Rashidee Mohd Rashid dengan projek MyOKU - Sistem Maklumat dan Pengurusan OKU.

Manakala untuk kategori SPRINT, barisan pemenang terdiri daripada Amy Lo Lai Voon dengan projek iBoleh (pertama), Muhammad Abdul Haiy Halid dengan projek My ID Payment (kedua) dan Muhammad Shuhaily Mohd Jasmany dengan projek Malaysia 1 Identification (My1_iD) (ketiga).

 

Rafiza Ghazali
Rafiza Ghazali

 

Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, RM7,500, RM5,000 serta hadiah menarik lain.

MYHackathon 2020 pusingan Kuala Lumpur mendapat 108 penyertaan dengan 20 peserta daripada berjaya ke sesi ‘pitching’ akhir.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Rafiza Ghazali berkata, proses pemilihan pemenang yang dibuat tidak dipandang ringan dengan penglibatan peserta dalam jumlah waktu yang panjang.

"Untuk pusingan Kuala Lumpur, sepanjang 15 hari yang lalu, peserta telah melalui 3,450 jam sesi mentoring dan 20 jam sesi webinar bersama dengan coaches mereka yang melibatkan beberapa proses penyaringan, latihan bersama mentor serta Bootcamp sebelum membuat sesi pembentangan akhir pada hari ini (semalam).

“MYHackathon 2020 meletakkan penekanan kepada keupayaan dan kejelasan idea penyelesaian yang dicadangkan. Pasukan diminta untuk menerangkan skalibiliti dan kebolehlaksanaan idea yang dikemukakan," tambahnya. - DagangNews.com