60% bakal pembeli pilih kediaman berharga bawah RM400,000 - kajian PropertyGuru | DagangNews Skip to main content

60% bakal pembeli pilih kediaman berharga bawah RM400,000 - kajian PropertyGuru

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - Kajian Sentimen Pengguna (CSS) separuh pertama 2024 oleh PropertyGuru Malaysia mendedahkan sebanyak 60% mempertimbangkan untuk membeli kediaman bernilai RM400,000 atau kurang, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan generasi muda di Malaysia.

 

Kajian itu juga mendapati bahawa sebanyak 30% daripada responden merancang untuk membeli hartanah dalam tempoh dua tahun akan datang.

 

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez berkata, CSS separuh pertama 2024 menyerlahkan permintaan tinggi berterusan untuk perumahan mampu milik, terutamanya dalam kalangan pekerja berpendapatan rendah dan keluarga muda.

 

Bagaimanapun katanya, adalah penting bahawa Pandangan Pasaran Hartanah Malaysia PropertyGuru 2024 menunjukkan penurunan suku kepada suku sebanyak 7.4% dalam Indeks Permintaan Jualan pada suku keempat 2023.

 

Katanya, ia menunjukkan bahawa walaupun niat untuk membeli ada, tetapi pelaksanaannya mungkin terjejas oleh pelbagai faktor seperti ketidakpastian ekonomi dan kenaikan kadar faedah.

 

"Kajian itu juga menunjukkan 60% daripada responden bersetuju bahawa peningkatan kadar cukai perkhidmatan, seperti yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2024, akan mempengaruhi kos pembelian hartanah, menyebabkan pembeli menjadi lebih peka terhadap harga dan berhati-hati dalam keputusan mereka.

 

"Selain itu, harga yang tinggi telah mengalihkan minat pembeli ke arah pasaran sewa yang mana trend penyewaan mengekalkan permintaan kuat sepanjang 2023 dan dijangka meningkat dalam tempoh yang terdekat.

 

 

propertyguru

 

 

"Apabila pasaran berkembang, adalah penting bagi pemain industri untuk memahami keutamaan dan trend pengguna semasa yang mana ia akan membolehkan mereka menyesuaikan tawaran hartanah mereka dan menyumbang kepada pembangunan perumahan mampu milik untuk rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Sheldon berkata, selain daripada kebimbangan kewangan, bakal pembeli rumah menyatakan kebimbangan terhadap kelewatan pembinaan projek (65%) dan kualiti pembinaan rendah (64%) apabila mempertimbangkan hartanah yang baru dilancarkan.

 

 

propertyguru

 

 

Katanya, kebimbangan itu menonjolkan kepentingan pengurusan projek dan kawalan kualiti, serta keperluan pemaju hartanah untuk menangani isu-isu ini bagi menarik perhatian bakal pembeli rumah.

 

"Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), sebanyak 481 projek sakit dan 112 projek terbengkalai dikenal pasti di seluruh negara menjelang Jun 2023, justeru tidak menghairankan bahawa 66% daripada responden menuntut penguatkuasaan lebih baik bagi memastikan pematuhan tertinggi semasa tempoh liabiliti kecacatan (DLP).

 

 

propertyguru

 

 

"Sebanyak 66% menyatakan keperluan untuk penubuhan Dana Jaminan Pemaju untuk melindungi pembeli daripada kehilangan dana disebabkan kebankrapan atau aktiviti penipuan pemaju yang mana penemuan ini menegaskan tentang kepentingan dasar perumahan lebih kuat bagi melindungi kepentingan pembeli serta meningkatkan keyakinan dalam pasaran hartanah," katanya. - DagangNews.com