7-Eleven kembangkan cabang farmaseutikal ke Indonesia, CGS-CIMB ulangi saranan 'tambah' | DagangNews Skip to main content

7-Eleven kembangkan cabang farmaseutikal ke Indonesia, CGS-CIMB ulangi saranan 'tambah'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - CGS-CIMB berpandangan positif terhadap langkah pengembangan 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd. ke Indonesia menerusi anak syarikatnya, Caring Pharmacy. 

 

Firma itu berpendapat, langkah itu sejajar dengan strategi 7-Eleven untuk terus mengembangkan segmen farmaseutikalnya dengan lebih meluas. 

 

Ini kerana, katanya, cabang farmaseutikal kumpulan menunjukkan trajektori pertumbuhan yang menarik.

 

"Ia merekodkan pertumbuhan jualan kedai yang sama (SSSG) yang positif bagi Caring (meningkat 4% tahun ke tahun) manakala rangkaian farmasi di wilayah utara (Georgetown dan Welling, meningkat 12.8% tahun ke tahun) pada suku ketiga, berikutan permintaan tinggi bagi produk penjagaan kesihatan. 

 

"Malah, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada e-dagang bagi mengembangkan asas pelanggannnya untuk memacu jualan pada masa akan datang," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada 29 November lalu, 7-Eleven mengumumkan Caring (pegangan 75% miliknya), memeterai perjanjian bagi cadangan usaha sama dengan PT Erajaya Swasembada (99.9% dimiliki PT Era Prima Indonesia). 

 

Ia bagi mengedarkan, memasarkan dan menjual produk farmaseutikal di bawah jenama Welling, yang merupakan tanda dagangan bagi Welling Pharmacy Sdn. Bhd. (yang 60% pegangan dimiliki 7-Eleven. 

 

Usaha sama ini dilaksanakan bagi memanfaatkan jenama Wellings, yang begitu dikenali dalam kalangan pelancong perubatan di Indonesia.

 

CGS-CIMB mendapati 7-Eleven merancang untuk membuka kedai runcit farmasi pertamanya di Indonesia menerusi kerjasama itu pada suku pertama 2022.

 

Dalam pada itu, ia juga mengekalkan pandangan bahawa segmen kedai serbaneka 7-Eleven akan menyaksikan pemulihan pada suku keempat selepas SSSG merosot 20.9% pada suku ketiga disebabkan sekatan pergerakan.

 

Secara keseluruhan firma itu mengulangi saranan 'tambah' bagi saham 7-Eleven dengan harga sasaran pada RM1.80. - DagangNews.com