7 penasihat pelaburan tidak berlesen diminta henti aktiviti - SC | DagangNews Skip to main content

7 penasihat pelaburan tidak berlesen diminta henti aktiviti - SC

 

 

KUALA LUMPUR 22 Mac - Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengarahkan 7 pengendali tidak berlesen supaya menghentikan dan menamatkan semua aktiviti pelaburan yang tidak berlesen.

 

Menurut SC, menyediakan nasihat pelaburan merupakan aktiviti yang dikawal selia yang memerlukan lesen di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA). 

 

"Mana-mana individu yang menjalankan perniagaan yang menyediakan nasihat pelaburan tanpa lesen melakukan kesalahan di bawah CMSA yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya.

 

"Perintah henti dan hindar tersebut dikeluarkan berikutan pemerhatian SC bahawa pengendali ini menjalankan perniagaan memberi nasihat mengenai sekuriti atau derivatif, termasuk memberikan cadangan pelaburan saham-saham setelah pembayaran fi dibuat," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Jelas SC, aktiviti ini biasanya dijalankan dalam kumpulan sembang peribadi berasaskan langganan melalui Telegram, Whatsapp dan Facebook.

 

Berikut adalah 7 pengendali dan penasihat tidak berlesen yang diminta supaya menghentikan aktiviti mereka : 

 

  • Don Trader / DT Academy Sdn Bhd

 

  • Engineer Saham / Ergonamos Marketing - Mohd Faizal Raihan

 

  • Felix Consulting

 

  • Lifestyle Trading Masterclass / LTM Tech - Jeremy Looi Chee Keong

 

  • One Stock Centre / Stock Advisor / The SuperInvestor / SA Expert Consultancy - B. Logeswaran 

 

  • Serikandi Saham / Thoriq Legacy Sdn Bhd - Fatin Fatini Ismadi

 

  • Teknik Saham - Fazlisyam Md Isa

 

Menurut SC pihaknya juga telah menyenaraikan semua pengendali di atas dengan butiran mereka yang relevan dalam Senarai Peringatan Pelabur SC, http://www.sc.com.my/investor-alert.

 

SC turut memberi amaran kepada pengendali webinar, seminar, media sosial dalam talian, dan bilik sembang aplikasi pesanan yang lain agar berhenti menjalankan aktivitinasihat pelaburan tanpa lesen. 

 

"Suruhanjaya memantau rapi perkara ini dan sekiranya wajar, akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang sekuriti," katanya.

 

Orang ramai juga diminta agar melaporkan kepada SC sekiranya mereka telah dihubungi oleh individu tidak berlesen yang menawarkan nasihat pelaburan modal di Aduan@seccom.com.my atau hubungi talian 03-6204 8999.

 

"Walaupun SC menjalankan pemantauan internet secara proaktif untuk membendung kegiatan tidak sah dalam pasaran modal haram yang dijalankan melalui media sosial, orang ramai juga diingatkan untuk berwaspada dan berhati-hati terhadap risiko mengambil bahagian dalam mana-mana skim pelaburan, kerana mereka boleh ditipu atau dipergunakan sebagai sebahagian daripada skim manipulasi pasaran," jelasnya.

 

Pelabur hendaklah mengesahkan lesen atau pendaftaran individu, syarikat dan platform yang menawarkan perkhidmatan atau produk pasaran modal, sebelum membuat apaapa keputusan pelaburan. Ini termasuk pemberian nasihat pelaburan, tegas SC. - DagangNews.com