Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 20 April - Sebanyak 70% majikan di negara ini memilih untuk mewajibkan semua kakitangannya mendapatkan vaksin COVID-19.
Jumlah tersebut diperoleh daripada hasil tinjauan yang dijalankan platform penyelesaian lengkap berkaitan gaji dan faedah bagi perniagaan kecil dan sederhana, Employment Hero.
Employment Hero berkata, tinjauan yang melibatkan 1,000 majikan dan pekerja Malaysia itu menunjukkan 76% para pekerja bersetuju untuk menerima vaksin dan hanya 7% mengatakan akan menolak pengambilan vaksin.
"Daripada keseluruhan negara yang ditinjau berkaitan isu ini, majikan di Malaysia menunjukkan tahap vaksinasi wajib paling tinggi berbanding Australia (33%), United Kingdom (33%) dan News Zealand (35%).
"Walaupun tahap penerimaan vaksin yang tinggi dalam kalangan pekerja di Malaysia, ketidakpastian jangka masa pelaksanaan vaksin menyebabkan ramai yang masih ragu-ragu untuk kembali bertugas di pejabar dalam masa terdekat.
"Ini kerana hanya 29% pekerja dan 31% majikan Malaysia yang dijangka akan kembali ke pejabat dalam tempoh enam bulan akan datang," jelas Employment Hero.
Hasil tinjauan Employment Hero 2021 itu dimasukkan dalam laporan yang bertajuk 'Kesan COVID-19 ke atas pemilik perniagaan dan pekerja'.
Mengulas lanjut, tinjauan tersebut menyatakan 32% majikan di Malaysia meletakkan jangkaan akan meneruskan norma kerja jarak jauh atau fleksibel dalam kalangan pasukannya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Employment Hero, Ben Thompson berkata, tahap tekanan dalam kalangan pekerja dan majikan di Malaysia juga masing-masing meningkat kepada 61% dan 58%, sementara 47% lagi meluahkan tidak selesa untuk membincangkan soal kesihatan mental dengan pihak atasan.
"Tahap kesihatan mental akibat COVID-19 dalam kalangan tenaga kerja perlu diberi perhatian mendalam.
"Tempat kerja adalah persekitaran yang sesuai untuk membincangkan berkaitan kesihatan mental, namun dengan adanya stigma yang risau akan kehilangan pekerjaan, ramai yang memilih untuk terus menderita dalam diam.
"Majikan ada peluang untuk mengubah situasi ini dengan menjadikann kesejahteraan mental sebagai keutamaan," katanya. - DagangNews.com