Pekerja muda di Malaysia mempunyai perancangan untuk meninggalkan negara bagi mencari perkerjaan lebih baik di luar negara.
NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Nov - Satu penyelidikan oleh syarikat pengurusan sumber manusia yang lengkap untuk perniagaan bersaiz kecil dan sederhana, Employment Hero mendedahkan bahawa 72 peratus perkerja muda Malaysia mempertimbangkan peluang untuk bekerja di luar negara bagi mendapatkan prospek kerjaya yang lebih baik.
Laporan Pergerakan dan Pengekalan Pekerja 2021 mendedahkan, angka itu adalah hasil kajian terhadap 1,004 pekerja dan ia adalah lebih tinggi berbanding negara lain seperti Singapura sebanyak 55% dengan gaji serta prospek kerjaya menjadi punca utama.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Employment Hero, Ben Thompson berkata, pandemik COVID-19 memberi pelbagai sebab kepada pekerja untuk mengubah hala tuju dalam kerjaya mereka atau meneroka ke luar negara seiring dengan dunia yang semakin terbuka.
"Sesuatu perlu dilakukan apabila 24% warga Malaysia menyatakan mereka "gemar" dengan pekerjaan mereka dan 45 % pula "menyukainya", tetapi kebanyakan daripada mereka telah merancang untuk meninggalkan pekerjaan masing-masing.
"Perkara ini dilihat sebagai masalah kepada majikan tempatan dan seharusnya mendorong lebih ramai majikan untuk menilai dasar, budaya kerja dan strategi untuk mengekalkan pekerja mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Laporan itu menyebut, 61% pekerja merancang untuk mencari peranan baharu dalam tempoh 12 bulan akan datang dan ia merupakan kadar tertinggi berbanding negara lain (Singapura 59%, Australia 48%, New Zealand 50% dan United Kingdom 55%).
"Antara sebab utama mereka ingin meninggalkan organsisasi adalah kekurangan pembangunan kerjaya (36%), diikuti dengan kekurangan penghargaan atau pengiktirafan (27%) dan kekurangan peluang latihan (26 peratus).
"Sebab-sebab lain pula ketiadaan kenaikan gaji, masalah pengurusan, berasa mereka bekerja terlalu kuat dan kekurangan fleksibiliti," jelasnya.-Dagangnews.com