Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Nov. - Malaysia dijangka muncul sebagai negara 'komuniti warga emas' menjelang 2056 apabila 20% daripada jumlah populasinya berumur lebih 65 tahun.
Trend ini akan memberi cabaran baharu kepada Malaysia dari segi pekerjaan, jaminan pendapatan dan penjagaan warga emas, tambahan pula pada tahun ini sahaja lebih 7% rakyat akan berumur lebih 65 tahun.
Malah, Bank Dunia dalam laporannya, A Silver Lining: Productive and Inclusive Aging for Malaysia juga mendapati pertumbuhan penduduk yang perlahan dan penyusutan ukuran relatif bagi populasi bekerja, akan mengalami satu pertiga penurunan dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh 30 tahun lagi.
Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Dr. Firas Raad berkata, penyediaan minimum perlindungan pendapatan kepada generasi yang lebih berusia di Malaysia memerlukan penambahbaikan berterusan dari segi perlindungan dan penerimaan skim insurans sosial.
Katanya, Malaysia mempunyai ruang yang lebih baik untuk melindungi warga emas dan membolehkan mereka melalui usia emas dengan bermaruah dan mempunyai tujuan.
"Pencen sosial secara bersasar yang dibiayai dengan cukai mungkin diperlukan dan merangkumi penduduk secara menyeluruh," katanya dalam laporan berkenaan yang dikeluarkan hari ini.
Berdasarkan laporan itu, hanya 45.2% individu yang berusia 55 hingga 64 tahun bekerja di Malaysia dan jumlah itu adalah lebih rendah berbanding negara ekonomi berpendapatan tinggi.
Kadar tenaga buruh juga adalah rendah dalam kalangan wanita bagi lingkungan umur tersebut.
Keadaan ini sebahagiannya disebabkan oleh umur persaraan minimum dan umur pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang rendah.
Didapati, pekerja yang lebih berusia cenderung bekerja sendiri atau terlibat dalam kerja-kerja sambilan dengan 43.1% adalah lelaki dan separuh daripadanya adalah wanita berumu 60 hingga 64 tahun.
"Dalam hal ini, masih terdapat ruang penambahbaikan dari segi prospek pekerjaan untuk pekerja berusia tanpa memberi kesan negatif kepada pekerja yang lebih muda," katanya.
Jelas Bank Dunia, jurang tenaga kerja antara lelaki dan wanita juga ketara antara umur 50 hingga 60 tahun. Hanya 17.9% wanita dalam kategori ini yang bekerja berbanding lelaki, 59.7%.
Apabila wanita lebih banyak bekerja sendiri atau tidak berbayar menyebabkan perlindungan sosial mereka juga berkurangan.
Pada usia 54 tahun, pekerja wanita hanya mempunyai baki KWSP sebanyak RM177,000 berbanding RM233,000 bagi lelaki.
Laporan itu juga menunjukkan hanya 60.8% tenaga kerja di Malaysia membuat caruman dengan KWSP, yang mana jumlah itu adalah rendah jika dibandingkan dengan negara berpendapatan tinggi.
Hampir 75% daripada ahli KWSP pula mempunyai baki akaun di bawah RM250,000 pada usia 54 tahun. Ini menunjukkan pendapatan bulanan kurang daripada RM1,050.
"Dalam tempoh jangka masa panjang, terdapat keperluan untuk meningkatkan umur persaraan secara berperingkat kepada 65 tahun, bergantung kepada tempoh hayat yang secara tidak langsung akan meningkatkan pertumbuhan KDNK 0.3% setiap tahun," cadang Bank Dunia dalam laporan berkenaan.
Pada masa sama, Bank Dunia berkata, terdapat keperluan untuk memperluaskan caruman KWSP kepada mereka yang bekerja sendiri dan pekerja sektor tidak formal.
"Pihak berkenaan juga boleh mewajibkan pendaftaran pekerja dengan KWSP sebelum memperoleh lesen perniagaan dan kontrak kerajaan," katanya.
Menurut badan tersebut, dengan meningkatkan baki purata KWSP semasa bersara memerlukan pendekatan jangka panjang seperti peningkatan berperingkat pengeluaran KWSP pada usia 65 tahun dan bergantung kepada tempoh hayat selepas itu.
Katanya, ini membolehkan kadar caruman KWSP dikurangkan apabila umur pengeluaran diselaraskan manakala caruman dan baki purata boleh ditingkatkan.
"Dalam pada itu, pencen sosial yang dibiayai oleh cukai mungkin diperlukan golongan yang mudah terjejas.
"Sebagai contoh, boleh dilaksanakan pemberian pencen bersasar sebanyak RM350 sebulan kepada golongan B40 berumur lebih 65 tahun dengan menggunakan sistem Bantuan Sara Hidup," katanya. - DagangNews.com