Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Mac - Seramai 76% daripada 5,050 ketua pegawai eksekutif (CEO) di seluruh dunia meramalkan ekonomi global akan berkembang pada tahun ini.
Angka itu diperoleh daripada Kaji Selidik PwC's 24th Annual Global CEO yang melibatkan 100 negara dan wilayah sepanjang Januari dan Februari 2021.
Menurut kaji selidik berkenaan, peratusan jumlah CEO yang menyuarakan keyakinan mereka terhadap prospek itu melonjak daripada 22% dicatatkan pada 2020 dan 42% pada 2019.
Ini sekali gus menyaksikan paras keyakinan tertinggi diraih sejak kaji selidik itu mula dijalankan pada 2012.
Pengerusi PwC Network, Bob Moritz berkata, jumlah CEO yang optimis terhadap pertumbuhan ekonomi pada tahun ini amat menggalakkan.
“CEO berkeyakinan bahawa ekonomi akan kembali berkembang, didorong oleh perkembangan vaksin yang pesat dan pengedarannya di seluruh pelosok dunia.
“Sepanjang tempoh tidak menentu pada tahun lalu, CEO perlu memikirkan dan meneroka semula apakah dan bagaimanakah mereka melakukannya, di samping berurusan dengan kunci kira-kira yang berkembang dan menyokong pekerja yang perlu berdepan situasi luar biasa itu,” katanya dalam sebuah kenyataan berhubung dapatan kaji selidik berkenaan.
Tambah Moritz, pemimpin-pemimpin syarikat itu kini berdepan dua cabaran utama, iaitu bagaimana untuk membina keyakinan terhadap pelbagai pihak berkepentingan dengan jangkaan mereka yang lebih tinggi daripada sebelum ini.
Kedua, bagaimana mereka boleh menyesuaikan perniagaan dan memberikan hasil yang berterusan dalam persekitaran luaran yang berubah dengan cepat, katanya lagi.
Dalam pada itu, kaji selidik itu juga mendapati keyakinan dalam kalangan CEO terhadap pertumbuhan ekonomi global sangat tinggi di Amerika Utara dan Eropah Barat, masing-masing merangkumi 86% dan 76%.
Tambah kenyataan itu, mereka juga yakin pertumbuhan hasil kewangan akan melonjak semula kepada purata jangka masa panjang dan optimis terhadap prospek perniagaan.
Sebanyak 36% daripada mereka yang ditinjau menyuarakan ‘sangat yakin’ mengenai prospek organisasi mereka bagi pertumbuhan pendapatan dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Ini menyaksikan CEO dalam sektor teknologi dan telekomunikasi menunjukkan paras keyakinan tertinggi terhadap prospek berkenaan iaitu masing-masing 45% dan 43%.
CEO dalam sektor pengangkutan dan logistik serta hospitaliti dan riadah masing-masing mencatatkan paras keyakinan terendah iaitu, 29% dan 27%.
Bagaimanapun, krisis pandemik dan kesihatan menduduki tempat teratas ancaman terhadap prospek pertumbuhan, mengatasi ketakutan peraturan berlebihan, yang menjadi perhatian nombor satu CEO secara global sejak 2014.
Mereka melihat peningkatan digitalisasi meningkatkan risiko yang dicetuskan oleh ancaman siber.
Turut tersenarai dalam kebimbangan para CEO adalah penyebaran maklumat yang salah, melonjak kepada 28% daripada 16% pada tahun 2020 di mana mempunyai impak terhadap pilihan raya, reputasi, dan kesihatan, selanjutnya mendorong kepada penurunan kepercayaan dalam kalangan masyarakat
Ditanya mengenai peruntukan mereka untuk transformasi digital, hampir separuh daripada CEO (49%) mengunjurkan peningkatan perbelanjaan sebanyak 10%.
Peruntukan itu terus meningkat walaupun mereka menyuarakan kebimbangan mengenai serangan siber.
Pada masa yang sama, semakin ramai CEO iaitu 36% merancang untuk menggunakan automasi dan teknologi untuk menjadikan tenaga kerja mereka lebih kompetitif. - DagangNews.com