78% perniagaan Malaysia bimbang impak COVID-19 | DagangNews Skip to main content

78% perniagaan Malaysia bimbang impak COVID-19

malaysia

KUALA LUMPUR 21 Sept. - Sebanyak 78% perniagaan di Malaysia meluahkan kebimbangan terhadap kesan COVID-19 kepada perniagaan masing-masing.

Peratusan tersebut diperoleh berdasarkan kepada Laporan Perniagaan Malaysia yang bertemakan 'Business in Turbulence' yang bertujuan untuk mengenal pasti cabaran dan kebimbangan dalam industri di Malaysia.

Monash University dalam satu kenyataan berkata, tahap keprihatinan perniagaan Malaysia adalah berbeza dalam pelbagai industri.

"Sebagai contoh industri makanan dan minuman, hiburan, pelancongan dan pertanian sangat menitik beratkan tentang keyakinan pengguna.

"Sebaliknya, hampir separuh syarikat (43%) dalam industri perkhidmatan perniagaan dan kewangan mementingkan aspek kemelesetan ekonomi global," jelas Monash University.

Tambah Monash University, beberapa hasil dapatan tinjauan berkaitan perkara tersebut turut disenaraikan seperti berikut;

  • 65% daripada responden membuat penyusunan semula terhadap komitmen kewangan mereka
  • Pengurus dan pemilik syarikat menjangkakan penurunan 73% dalam pendapatan syarikat
  • 60% syarikat memberi maklum balas berkaitan kesan kewangan langsung sebagai perhatian utama diikuti dengan kemelesetan global (42%) dan 31% meragui kemampuan mereka untuk terus beroperasi
  • 66% syarikat mencari jalan mengubah operasi syarikat
  • 73% bimbang bahawa Malaysia berkemungkinan berdepan risiko kemerosotan ekonomi

 

Sementara itu, wakil Kolej Perniagaan Monash University Malaysia, Prof. Madya Santha Vaithilingam berkata, hasil tinjauan tersebut adalah berdasarkan perkembangan pencegahan wabak di negara Malaysia berbanding negara-negara maju lain.

"Jumlah kes aktif yang rendah juga meningkatkan keyakinan dan permintaan pengguna kerana lebih banyak sektor akan dibuka untuk perniagaan.

"Bagaimanapun, 32% daripada perniagaan masih menunjukkan tahap keyakinan yang sederhana, sementara 23% lagi memberi gambaran suram terhadap perkembangan ekonomi masa hadapan," jelas beliau lagi.

Laporan Perniagaan Malaysia itu adalah inisiatif bersama antara Monash University Malaysia, Monash Malaysia R&D Sdn. Bhd. dan Global Asia menerusi Platform Penyelidikan Abad ke-21.

Sebanyak 802 responden dari pelbagai industri dan lokasi terlibat dalam memberi pandangan mereka mengenai kesan COVID-19 kepada perniagaan di Malaysia. - DagangNews.com