79% rakyat Malaysia tiada pelan kewangan rasmi kerana andaian tidak memiliki dana mencukupi – tinjauan Hong Leong Bank | DagangNews Skip to main content

79% rakyat Malaysia tiada pelan kewangan rasmi kerana andaian tidak memiliki dana mencukupi – tinjauan Hong Leong Bank

[Gambar Freepik/pressfoto]
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Feb - Sebanyak 79% rakyat Malaysia tiada pelan kewangan rasmi disebabkan oleh andaian bahawa mereka tidak memiliki dana mencukupi untuk memulakan pelan pengurusan kekayaan.

 

Tinjauan persepsi kekayaan yang dijalankan oleh Hong Leong Bank Berhad (HLB) dengan lebih 1000 responden warganegara Malaysia berumur antara 18 dan 77 tahun mendedahkan bahawa hanya 12% menganggap diri mereka kaya.

 

HLB turut mendapati bahawa daripada 327 responden yang melabur, 57% daripada mereka melabur dalam saham, diikuti 56% pada skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Malaysia (ASM) dan 54% terlibat dalam pelaburan emas. Selain itu, 44% responden memilih deposit tetap sebagai pelaburan utama mereka.

 

Dapatan tinjauan turut menampilkan trend signifikan bagi pelaburan kendiri dalam kalangan rakyat Malaysia, dengan 83% daripada mereka yang melabur memilih untuk menguruskan pelaburan secara autonomi, tanpa mendapatkan input atau bimbingan daripada penasihat kewangan profesional.

 

Bagi perangkaan pelan kewangan, bank itu berkata hampir separuh daripada rakyat Malaysia (49%) mendapatkan nasihat kewangan daripada media sosial, manakala peratusan yang sama bergantung kepada maklumat daripada ahli keluarga.

 

Pengarah Urusan Pengurusan Kekayaan Serantau HLB, Hor Kwok Wai berkata, peratusan tinggi pelabur kendiri menunjukkan orang ramai semakin memilih untuk terlibat secara langsung dalam perancangan kewangan dan strategi pelaburan.

 

“Oleh itu, institusi kewangan seperti HLB perlu menyediakan sumber dan sokongan yang teguh untuk memperkasa dan mendidik pelabur membuat pilihan pelaburan yang termaklum dan berkesan.

 

 

Hor Kwok Wai
Hor Kwok Wai

 

 

 

"Sebagai sebuah institusi kewangan, kami mempunyai kewajipan untuk membantu semua pelanggan dalam mencapai kemampanan dan kemakmuran kewangan dengan menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan yang boleh dipercayai dan bertanggungjawab,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Hor turut menekankan kepentingan pemupukan celik kewangan dan kesedaran untuk menghapuskan mitos yang menyelubungi pengurusan kekayaan agar individu dilengkapi dengan pengetahuan dan pandangan yang diperlukan bagi mengatasi kerumitan pengurusan kekayaan dengan yakin dan berhemat.

 

Tinjauan itu juga mendedahkan daya penggerak di sebalik pilihan strategi pelaburan, terutamanya keluarga dan komuniti yang memainkan peranan penting dalam motivasi mereka untuk menjana kekayaan.

 

Selain itu, ia mendedahkan bahawa 78% responden mempunyai perlindungan insurans, dengan lebih separuh daripada mereka menganggap insurans sebagai sangat penting dalam memastikan sokongan berterusan untuk keluarga mereka menghadapi keadaan yang tidak dijangka.  - DagangNews.com