82% daripada 35,000 warga TNB telah divaksin | DagangNews Skip to main content

82% daripada 35,000 warga TNB telah divaksin

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Sebanyak 82% daripada hampir 35,000 warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di seluruh Semenanjung dan Sabah telah pun menerima dos kedua suntikan vaksin COVID-19, hasil kesedaran yang tinggi untuk bersama-sama negara dan rakyat membendung penularan pandemik COVID-19.

 

Vaksinasi menyeluruh menjadi keutamaan syarikat utiliti berkenaan berikutan sebahagian besar anggota kerjanya perlu berada di lapangan iaitu di seluruh rantaian tenaga bagi menjamin kestabilan bekalan, demi keselesaan rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Operasi TNB adalah perkhidmatan perlu dalam usaha negara memerangi COVID-19, khususnya memastikan bekalan elektrik kekal stabil di lokasi-lokasi strategik termasuk hospital, pusat kesihatan, pusat simpanan vaksin dan pusat pemberian vaksin.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, menyedari harapan negara dan rakyat terhadap peranan itu, TNB melaksanakan kempen dalaman bagi menggalakkan seramai mungkin anggota kerjanya mendaftar untuk menerima vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

 

Pada masa sama, katanya, TNB juga berusaha mendapatkan kerjasama pihak berkuasa di peringkat Persekutuan dan negeri bagi memudahkan warga kerjanya yang bertugas di barisan hadapan untuk mendapatkan vaksin dalam tempoh segera.

 

“Kempen dalaman ini telah berjaya mewujudkan imuniti kelompok yang diperlukan dalam kalangan warga kerja kami. Alhamdulillah, mereka mendaftar secara sukarela berikutan wujudnya kesedaran dan keyakinan tentang perlunya mengawal penularan COVID-19 pada diri, ahli keluarga, kenalan dan pelanggan kami.

 

Tambahnya, selain kempen dalaman, syarikat utiliti elektrik negara itu juga menubuhkan sebuah special taskforce atau pasukan bertindak, khusus untuk program vaksinasi dalam usaha mempercepatkan proses vaksinasi anggota kerjanya.

 

“Terima kasih juga kami ucapkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) yang membantu pasukan bertindak ini mendapatkan slot vaksinasi untuk warga kerja TNB.” kata Baharin.

 

 

TNB
Datuk Ir. Baharin Din

 


Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan-kerajaan Negeri dan pejabat kesihatan negeri-negeri yang memberi kerjasama dan memudahkan barisan hadapan TNB di negeri-negeri mendapatkan suntikan vaksin masing-masing.

 

Baharin juga berkata, bagi menyokong Pelan Pemulihan Negara TNB telah menetapkan hanya warga kerjanya yang telah menerima vaksin sahaja dibenarkan bekerja di lapangan (work on site) dan selagi boleh warga kerjanya masih digalakkan untuk bekerja dari rumah.

 

“TNB juga memandang serius keperluan warga kerja kami mendapatkan suntikan vaksinasi kerana ia dapat membantu usaha negara memulihkan keyakinan perniagaan dan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya lagi. - DagangNews.com