KUALA LUMPUR 25 April – Satu kaji selidik baru-baru ini mendedahkan bahawa rakyat Malaysia percaya bahawa perdagangan rokok seludup akan meningkat besar jika kerajaan meneruskan rancangannya untuk mengharamkan penjualan rokok kepada individu yang lahir selepas tahun 2005.
Kaji selidik itu juga mendapati dua per tiga perokok yang ditinjau turut mengakui bahawa mereka pernah merokok atau sedang merokok produk seludup, menunjukkan rokok kontraban murah adalah pintu kepada tabiat merokok.
Pendedahan ini adalah dapatan tinjauan yang ditugaskan oleh DARE (Datametrics Research & Information Centre Sdn Bhd), sebuah badan pemikir Malaysia. Kaji selidik itu dilakukan oleh Green Zebras, syarikat peneraju penyelidikan pasaran di Malaysia.
Pengarah Urusan & Pengasas Bersama Green Zebras Sdn Bhd, Steve Murphy berkata, kaji selidik pihaknya mendapati 83% rakyat Malaysia menganggap perdagangan rokok seludup bakal meningkat besar dengan pengharaman jualan rokok kepada mereka yang lahir selepas tahun 2005.
''Jelas wujud kepercayaan besar bahawa pengharaman jualan rokok hanya akan membawa kepada peningkatan pasaran rokok seludup dan menguntungkan sindiket jenayah,’’ kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.
Sebanyak 94% yang ditinjau percaya bahawa kos murah rokok seludup (berbanding rokok sah) merupakan pendorong utama bagi perokok untuk dari semasa ke semasa mencuba atau secara tetap memilih jenama rokok seludup.
Kira-kira 50% rakyat Malaysia yang ditinjau mengatakan bahawa wujud akses mudah disebabkan rokok seludup ada di mana-mana, menjadi faktor kritikal menarik orang ramai membeli dan merokok rokok seludup.
Kaji selidik itu turut mendapati 90% rakyat Malaysia percaya bahawa perdagangan rokok seludup merupakan masalah bagi Malaysia dan mahu ia dihentikan.
Malangnya, 6 daripada 10 yang ditinjau menyatakan mereka tidak yakin dengan keupayaan kerajaan untuk mengurangkan aktiviti pasaran gelap, termasuk rokok seludup, bagi tempoh setahun akan datang.
“Rakyat Malaysia faham bahawa perdagangan rokok seludup memiliki kos sosio-ekonomi yang tinggi.
''Di sebalik tampil dengan langkah-langkah baharu yang boleh memburukkan lagi keadaan, Kerajaan sepatutnya menumpukan pada aspek penguatkuasaan undang-undang sedia ada bagi membanteras rokok seludup, yang merupakan isu besar di Malaysia,’’ kata Murphy, merujuk kepada perbincangan kualitatif dengan peserta kaji selidik itu.
Kaji selidik Green Zebras dilaksanakan secara dalam talian pada Mac 2022 di seluruh negara. Ia merangkumi saiz sampel 1,000 orang dewasa Malaysia dan merangkumi keseluruhan penduduk dari segi lokasi, jantina, bangsa dan usia. – DagangNews.com