8.5 juta rakyat terima STR Fasa 3 sehingga RM650 bermula 29 Ogos 2024 | DagangNews Skip to main content

8.5 juta rakyat terima STR Fasa 3 sehingga RM650 bermula 29 Ogos 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Seramai 8.5 juta rakyat bakal menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 berjumlah sehingga RM650 bermula 29 Ogos 2024.

 

Bagi penerima baharu dan rayuan pula akan menerima bayaran mulai 18 September 2024.
 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi Belanjawan 2024 peruntukan STR telah ditingkatkan sebanyak RM2 bilion atau 25% daripada RM8 bilion pada tahun 2023 kepada RM10 bilion yang memanfaatkan penerima yang meliputi hampir 60% penduduk dewasa Malaysia. 

 

 

“Penambahan peruntukan bagi STR 2024 mencerminkan komitmen Kerajaan Madani adala bagi membantu meringankan cabaran kos sara hidup rakyat, terutamanya bagi keluarga di bawah kategori B40 dan M40 terendah.

 

“Penambahbaikan STR 2024 adalah sejajar dengan pendekatan Kerajaan Madani untuk menumpukan sumber kewangan negara kepada rakyat yang memerlukan bantuan. 

 

"Insya Allah, dengan lebih penambahbaikan kepada pengurusan kewangan dan tatakelola, kerajaan akan mampu untuk memberi lebih bantuan pada masa kelak kepada golongan terbanyak serta rentan agar tiada rakyat yang tercicir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

str

 

Mulai 2024, kerajaan telah mengambil pendekatan baharu untuk membuka pendaftaran STR 2024 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan. 

 

Oleh itu, bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.

 

Sekiranya nama  pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi  membolehkan proses pengesahan mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan. 

 

str

 

Status kelayakan STR dibuka untuk semakan mulai 29 Ogos 2024 dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di portal rasmi STR, melalui pautan bantuantunai.hasil.gov.my.

 

Kementerian Kewangan menasihatkan penerima STR agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR. 

 

Sebagai perlindungan daripada kes penipuan (scam), pihak kementerian  tidak membuat penghantaran SMS dan mesej WhatsApp meminta maklumat peribadi kepada individu. - DagangNews.com