KUALA LUMPUR 25 Okt - 86% daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia bergelut dalam persaingan mendapatkan bakat dengan syarikat multinasional disebabkan kenaikan kos pengambilan kerja, menurut Employment Hero.
Laporan ‘The State of Recruitment Growing Costs and Concerns’ diterbitkan oleh platform sumber manusia itu mendedahkan peningkatan kos proses pengambilan pekerja sebagai kebimbangan utama dalam kalangan pengurus sumber manusia di negara ini.
“Mereka berpendapat bahawa gaji lebih tinggi disebabkan kos sara hidup (52%), kekurangan buruh (37%) dan peningkatan kos pengiklanan jawatan kosong dan bayaran perekrut di syarikat pengambilan pekerja (32%) sebagai faktor utama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya, pengurus sumber manusia secara purata mengambil tempoh 41 hari untuk mengisi jawatan kosong di Malaysia dan Singapura — tempoh paling lama diperlukan berbanding negara-negara lain yang dikaji (Australia, New Zealand dan United Kingdom).
Di samping itu, setelah diambil bekerja, 19% daripada calon tidak lulus percubaan atau kekal dalam jawatan mereka selepas enam bulan pertama, yang merumitkan proses pengambilan pekerja.
23% daripada pengurus sumber manusia menyebut bahawa faktor ini menyumbang kepada peningkatan kos pengambilan pekerja.
Laporan tersebut mendapati bahawa 97% daripada pengurus sumber manusia PKS berhadapan cabaran pengambilan pekerja ekoran ketidakupayaan memadankan gaji di organisasi besar dan 96% daripada mereka menyatakan bahawa tidak dapat memberikan faedah yang serupa.
Pengarah Urusan Employment Hero di Asia, Kevin Fitzgerald berkata, kos pengambilan pekerja yang semakin meningkat menimbulkan kelemahan yang ketara bagi PKS tempatan, menyebabkan mereka mengambil masa lama dalam proses pengambilan pekerja, yang seterusnya memberi kesan kepada produktiviti dan keuntungan mereka.
“PKS adalah tulang belakang ekonomi Malaysia. Maka, adalah penting untuk memastikan mereka mempunyai akses kepada proses pengambilan yang lancar dan peluang sama untuk menarik dan mengekalkan calon terbaik,” kata beliau. - DagangNews.com