9 panduan TNB kurangkan pembaziran elektrik semasa Lockdown | DagangNews Skip to main content

9 panduan TNB kurangkan pembaziran elektrik semasa Lockdown

KUALA LUMPUR 2 Jun -  Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyenaraikan sembilan lagi panduan untuk orang ramai mengurangkan dan menguruskan penggunan peralatan elektrik bagi mengelak pembaziran tenaga, terutama semasa tempoh sekatan pergerakan penuh (lockdown) sekarang.

 

 

Menurut TNB, meskipun penggunaan elektrik mungkin meningkat rentetan lebih banyak masa dihabiskan di kediaman masing-masing semasa tempoh sekatan ini, pelanggan mempunyai pilihan untuk memantau dan mengurus penggunaan peralatan elektrik di kediaman mereka bagi mengelak pembaziran tenaga.

 

Ini termasuklah menutup suis peralatan apabila tidak digunakan dan mengamalkan tip kecekapan tenaga apabila menggunakan peralatan yang menggunakan tenaga yang banyak seperti alat pemanas air, alat pendingin hawa, mesin basuh dan lampu.

 

"Untuk lebih 1.2 juta pengguna TNB yang mempunyai meter pintar, mereka boleh memanfaatkan maklumat harian mengenai penggunaan elektrik yang tersedia di aplikasi myTNB bagi memantau penggunaan elektrik di kediaman,” kata Ketua Pegawai Runcit TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan.

 

Bagi mengurangkan peningkatan, pelanggan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dinasihati untuk mengamalkan langkah-langkah kecekapan tenaga berikut:

 

1. Mematikan komputer selepas digunakan dan berhenti mengecas komputer riba selepas bateri dicas sepenuhnya. Pastikan suis dimatikan selepas penggunaan aksesori seperti pembesar suara, mesin pencetak dan pengimbas;

 

2. Memastikan semua pintu, tingkap dan laluan udara ditutupkan sepenuhnya semasa menggunakan alat pendingin hawa supaya udara sejuk tidak keluar dari bilik. Gunakan kipas untuk membantu menyejukkan bilik supaya termostat alat pendingin hawa boleh dilaraskan lebih tinggi (antara 24 hingga 26 darjah Celsius) bagi penggunaan elektrik yang cekap;

 

3. Tetapkan pemasa untuk mematikan alat pendingin hawa bagi mengurus dan menjimatkan tenaga. Sebelum tidur, cuba tetapkan ia untuk ditutup beberapa jam selepas digunakan untuk penggunaan elektrik yang lebih cekap;

 

4. Bersihkan penapis alat pendingin hawa untuk mengoptimumkan proses penyejukan. Habuk pada penapis mengurangkan peredaran udara dan menjejaskan kecekapan alat pendingin hawa;

 

5. Manfaatkan cahaya semula jadi bagi mengurangkan kos penggunaan lampu;

 

6. Penggunaan air panas semasa mencuci pakaian (dengan muatan penuh) menggunakan lebih banyak tenaga kerana ia mengambil masa untuk air dipanaskan;

 

7. Apabila menggunakan ketuhar elektrik, membuka dan menutup pintu ketuhar dengan kerap tidak akan mempercepatkan masa hidangan dimasak bahkan ia akan menyebabkan penggunaan elektrik yang lebih banyak untuk mengekalkan suhu ketuhar;

 

8. Mematikan suis dan menanggalkan plag peralatan elektrik apabila tidak digunakan. Televisyen, kotak dekoder (set-top boxes) seperti Astro dan modem yang tidak dimatikan boleh meningkatkan penggunaan elektrik dalam jangka masa yang panjang; dan

 

9. Masa mandian yang panjang dengan alat pemanas air menggunakan lebih banyak tenaga untuk memanaskan air secara berterusan.

 

Maklumat lanjut berkaitan cara-cara penggunaan elektrik yang berhemat boleh didapati pada portal myTNB https://www.mytnb.com.my. Pengguna juga boleh memantau penggunaan alat elektrik di kediaman menerusi MAEVi, layari https://maevi.my!

 

Bagi pertanyaan bil, pelanggan boleh menghubungi TNB CareLine pada talian 1300-88-5454 dan menerusi Facebook TNB CareLine dan Twitter @ Tenaga_Nasional - DagangNews.com