9 pendekatan jangka pendek tangani isu kenaikan harga ayam, telur - PM | DagangNews Skip to main content

9 pendekatan jangka pendek tangani isu kenaikan harga ayam, telur - PM

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menggariskan sembilan pendekatan jangka pendek bagi menangani isu kenaikan harga ayam dan telur menerusi Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai Industri Pengeluaran Makanan.

 

Beliau berkata, antara pendekatan yang akan diambil termasuk penetapan harga siling baharu sebanyak RM8.90  berbanding RM9.10 dengan pengurangan RM0.20 manakala harga telur ayam semua gred kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa dan pelaksanaan kedua-dua harga itu bermula 5 Februari hingga 5 Jun 2022.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memberikan subsidi bagi memastikan harga barangan dapat dikawal seperti SHMKM dan perincian subsidi itu akan dilakukan oleh Pasukan Khas Mengenai Kos Sara Hidup Negara yang akan diketuai Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta beberapa kementerian, wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan persatuan pengguna sehingga harga kembali stabil.

 

Selain itu beliau berkata, permit import ayam bulat dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) termasuk pengusaha pasar raya besar bagi mengimport ayam berbanding hanya sesetengah bahagian ayam sahaja.

 

"Mesyuarat juga mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) membuat siasatan sekiranya wujud kartel dalam pakatan menentukan harga ayam dan telur manakala Kedai Harga Patut perlu diaktifkan semula di seluruh negara serta menambah kekerapan operasi pasar tani di sesebuah kawasan.

 

"Pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) melibatkan 222 Parlimen perlu dilaksanakan secara maksimum dengan kerjasama melibatkan kementerian terbabit bagi membantu Keluarga Malaysia mendapatkan barangan asas pada harga lebih murah," katanya selepas mempengerusikan NACCOL yang turut disertai Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). 

 

pm

 

Semasa mesyuarat itu, sebanyak empat kertas telah dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pertanian dan Asas Tani dan Kementerian Pengangkutan. 

 

Ismail Sabri berkata, Kementerian Kewangan mengkaji insentif cukai untuk transformasi ladang ternakan ayam manakala permohonan pengambilan pekerja asing Bangladesh suda dibuka secara berperingkat bermula 28 Januari 2022.

 

pm

 

Beliau berkata, langkah terakhir ialah koperasi yang terlibat dalam industri pertanian akan turut dilibatkan bagi menawarkan barangan asas tanpa melibatkan orang tengah bagi tujuan mengawal harga.

 

"Tindakan proaktif perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan harga kekal berpatutan, namun dalam masa sama industri penternakan ayam tidak terjejas dan sekaligus dapat memastikan bekalan kekal stabil," katanya.

 

pm

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, mesyuarat itu turut membincangkan penyelesaian jangka panjang termasuk menyokong penyelidikan yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menjadikan isi rong kelapa sawit bagi menggantikan jagung dan soya sebagai makanan ayam.

 

Selain itu beliau berkata, terdapat cadangan kepada kerajaan negeri untuk memanjangkan tempoh penggunaan tanah di bawah lesen pendudukan sementara (TOL) bagi aktiviti pertanian selain jaminan bekalan makanan bukan hanya mencukupi tetapi kemampuan Keluarga Malaysia untuk membeli.

 

"Pelan tindakan jangka panjang ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam mesyuarat NACCOL akan datang," katanya. - DagangNews.com