9,000 usahawan MARA boleh tangguh bayaran balik pinjaman | DagangNews Skip to main content

9,000 usahawan MARA boleh tangguh bayaran balik pinjaman

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 28 Jun - Seramai 9,000 usahawan  MARA yang terjejas akibat COVID-19 dibenarkan   untuk memohon penangguhan bayaran balik pembiayaan perniagaan untuk tempoh tiga bulan.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain penangguhan tersebut, usahawan berkenaan juga boleh membuat penjadualan semula bayaran balik pembiayaan dengan memanjangkan tempoh pembiayaan sehingga 36 bulan.

 

"MARA juga akan melanjutkan pemberian diskaun 30% ke atas sewaan premis perniagaan MARA bagi tempoh lima bulan lagi iaitu sehingga Disember 2021.

 

"Lebih 5,700 penyewa dijangka memperoleh manfaat daripada inisiatif ini," jelas beliau.

 

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) hari ini. 

 

Dalam pengumuman sama, beliau turut menyarankan agar lebih banyak badan berkanun, syarikat GLC dan PBT untuk turut memberi kemudahan pengecualian dan menawarkan diskaun sewa, lesen atau menangguhkan bayaran komitmen bulanan.

 

"Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, pemilik-pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30% kepada peniaga dalam tempoh sehingga 31 Disember 2021 layak mendapat potongan khas cukai," ujar beliau lagi. - DagangNews.com