91% peniaga Malaysia teroka peluang kembangkan pasaran dalam tempoh lima tahun akan datang – kajian Deel | DagangNews Skip to main content

91% peniaga Malaysia teroka peluang kembangkan pasaran dalam tempoh lima tahun akan datang – kajian Deel

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Nov - 91% peniaga Malaysia sedang meneroka peluang secara aktif untuk berkembang sekurang-kurangnya dalam satu lagi pasaran bagi tempoh lima tahun akan datang, setanding dengan hab antarabangsa terkenal seperti Singapura, yang juga mencatat 91%, menurut kajian Deel.

 

Daripada 300 pembuat keputusan perniagaan tempatan yang terlibat dalam kajian berkenaan, Deel berkata 82% perniagaan yang ditemu bual telah berkembang atau sedang beroperasi, di sekurang-kurangnya satu pasaran di luar Malaysia.

 

Platform sumber manusia global itu berkata minat tersebut juga pasaran Asia Tenggara merupakan pilihan utama 74% responden, manakala Asia Utara paling hampir pada 38%.

 

Dari segi anggaran pelaburan, Deel berkata perniagaan Malaysia, secara puratanya, menganggarkan pelaburan kira-kira AS$1.1 juta (RM5.15 juta) bagi rancangan pengembangan mereka. 

 

“Perniagaan besar dengan lebih 100 orang pekerja memperuntukkan purata AS$1.6 juta (RM7.48 juta), dengan 10% teratas memperuntukkan sebanyak AS$7.5 juta (RM35 juta).

 

“78% daripada perniagaan telah meningkatkan pelaburan mereka kepada usaha pengembangan global sejak lima tahun kebelakangan ini, membayangkan minat yang semakin meningkat terhadap pasaran antarabangsa,” kata Deel dalam satu kenyataan media.

 

Bagaimanapun, Deel turut mendedahkan terdapat beberapa halangan untuk pengembangan perniagaan Malaysia, terutamanya 42% responden mendapati bahawa kos penubuhan asas sebagai halangan paling besar.

 

Deel menambah bahawa 40% menyatakan pematuhan tempatan yang kompleks dan halangan manusia, serta menekankan kepentingan menangani aspek-aspek ini sewaktu pengembangan.

 

“Satu penemuan spesifik daripada kajian itu mendedahkan bahawa sebanyak 51% daripada perniagaan yang sedang dalam mod pengembangan telah melantik pengambil pekerja pihak ketiga bagi menangani kos, pematuhan tempatan dan halangan manusia

 

“Tambahan 34% lagi sedang memikirkan tentang pendekatan ini, yang menunjukkan trend jelas mencari bantuan luaran dalam mengatasi cabaran pengembangan,” katanya.  - DagangNews.com