94% guru sudah terima 2 dos vaksin COVID-19 kata Radzi | DagangNews Skip to main content

94% guru sudah terima 2 dos vaksin COVID-19 kata Radzi

Dr Radzi Jidin (dua dari kanan) berbual dengan guru-guru semasa melawat beberapa sekolah di Negeri Sembilan pada Isnin.

 

 


KUALA LUMPUR 5 Okt – Sebanyak 94% atau 388,897 guru di seluruh negara telah lengkap divaksin setakat 4 Oktober, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

 

Menurut beliau, Kementerian Pendidikan (KPM)  sentiasa memantau rapi kadar vaksinasi guru.

 

“KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi warga sekolah termasuk dalam kalangan guru dapat terus ditingkatkan,” katanya di Dewan Rakyat, pada Selasa.

 

Dalam perkembangan lain, Radzi memberitahu pada 20 Jun 2021, KPM telah mengumumkan Pengambilan Khas seramai 18,702 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara one-off bagi mengisi kekosongan guru di sekolah KPM.

 

Menurut beliau, urusan pengambilan PPP ini adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku Pihak Berkuasa Melantik.

 

“Urusan pengambilan one-off ini telah bermula pada 7 Julai 2021. Buat masa ini, SPP sedang melaksanakan temuduga secara berfasa mulai 8 September 2021 sehingga 12 November 2021. Proses pengambilan ini dijangka selesai pada bulan Disember 2021.

 

“Berdasarkan data sehingga 19 September 2021, terdapat 21,564 kekosongan guru di sekolah KPM seluruh negara. Dengan mengambil kira pengambilan one-off tersebut, baki kekosongan 2,862 akan diisi melalui proses lantikan biasa secara berterusan oleh SPP,” ujarnya.

 

Radzi berkata, KPM yakin dengan pengambilan one-off ini perkara berkaitan kekurangan guru yang telah berlanjutan bertahun-tahun lamanya akan dapat diselesaikan.

 

“Sekiranya bilangan calon yang berjaya dilantik dalam kalangan graduan yang mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan masih belum mencukupi, maka SPP akan melaksanakan kaedah lantikan secara Contract of Service (COS),” kata beliau. – DagangNews.com