95% operasi perladangan FGV jalankan pembayaran gaji tanpa tunai | DagangNews Skip to main content

95% operasi perladangan FGV jalankan pembayaran gaji tanpa tunai

Melalui sistem e-dompet, FGV memudahkan pekerja ladang migran mengawal dan mengurus kewangan dengan lebih efisien

Melalui sistem e-dompet, FGV memudahkan pekerja ladang migran mengawal dan mengurus kewangan dengan lebih efisien.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Mac. - Syarikat perladangan pertama di Malaysia yang mempelopori aplikasi sistem dompet elektronik (e-dompet), FGV Holdings Berhad (FGV) berjaya menjalankan pembayaran gaji tanpa tunai untuk 95% operasi perladangannya di Semenanjung Malaysia.

 

Peratusan tersebut melibatkan seramai 17,682 pekerja ladang migran.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, baki 5% yang melibatkan 861 pekerja ladang migran akan selesai dilaksanakan pada penghujung Mac 2021.

 

Katanya, pengurusan ladang secara digital merupakan salah satu usaha FGV untuk menghormati hak-hak pekerja ladang migran.

 

“Sebagai syarikat yang bertanggungjawab, FGV terus berusaha memperkasa serta menambah manfaat untuk setiap pekerja ladang migran kami. 

 

"Dengan kawalan penuh ke atas gaji tanpa menggunakan orang tengah, pekerja dapat mengawal perbelanjaan dan baki akaun secara peribadi melalui aplikasi e-dompet di telefon bimbit masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Beliau memberitahu, sebanyak 264 pendaftaran e-dompet di Sarawak akan dilaksanakan menerusi pembayaran gaji bulan ini. 

 

Peruncit menyediakan khidmat pembayaran tanpa tunai untuk memudahkan pembelian barangan keperluan
Peruncit menyediakan khidmat pembayaran tanpa tunai untuk memudahkan pembelian barangan keperluan.

 

Sementara itu, 10,925 pendaftaran di Sabah pula akan dilaksanakan serentak pada awal April 2021 yang meliputi pekerja ladang migran FGV Plantations (M) Sdn. Bhd., FGV Agri Services Sdn. Bhd., Pontian United Plantation Berhad dan Yapidmas Plantation Sdn. Bhd.

 

Dalam kenyataan sama, beliau berkata, selain sistem pembayaran gaji tanpa tunai, FGV akan memperkenalkan empat ciri baharu aplikasi e-dompet mulai April 2021.

 

Ciri baharu tersebut ialah e-rungutan, e-kehadiran, butang kecemasan dan e-pembelajaran.

 

Bagi ciri e-rungutan, pekerja ladang migran FGV mempunyai pilihan untuk membuat aduan pada bila-bila masa. 

 

Katanya, aduan atau rungutan boleh dibuat di dalam bentuk teks, audio atau video dan dikendalikan secara berpusat di Pusat Sehenti FGV di Gemencheh, Negeri Sembilan.

 

Melalui e-kehadiran pula, pekerja ladang migran FGV dapat mengakses maklumat berkaitan kehadiran serta butiran tugasan. 

 

Maklumat tersebut diselaraskan secara terus dari pangkalan data berpusat e-Rangkaian Maklumat Ladang FGV selain membolehkan pekerja ladang migran melihat hasil prestasi kerja pada setiap hari. 

 

"Ciri butang kecemasan (panic button) bertujuan meningkatkan keselamatan dan membolehkan pengurusan ladang bertindak segera menangani kes kecemasan atau kemalangan di tempat kerja. Dengan menekan tombol khas di aplikasi, pekerja ladang migran FGV dapat menghantar isyarat kecemasan serta memaklumkan kedudukannya untuk membolehkan bantuan dihantar. 

 

"Ciri e-pembelajaran pula memudahkan pekerja ladang migran mendapat maklumat terkini tentang caruman PERKESO, manfaat kesihatan dan perubatan, kontrak pekerjaan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kadar upah kerja dan lain-lain maklumat berkaitan," ujar beliau.

 

Tambahnya lagi, FGV merancang untuk melaksanakan penambahbaikan beberapa lagi fungsi digital e-dompet secara berterusan untuk kemudahan pekerja ladang migrannya di masa hadapan. - DagangNews.com