96.2% perniagaan Asia Pasifik akui kepentingan pengkomputeran awan | DagangNews Skip to main content

96.2% perniagaan Asia Pasifik akui kepentingan pengkomputeran awan

Pengkomputeran awan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Sebanyak 96.2% perniagaan di Asia Pasifik mengakui kepentingan perkhidmatan pengkomputeran awan sebagai keperluan perniagaan dalam tempoh ketidaktentuan 
pandemik.

 

Perkara tersebut dibuktikan melalui Laporan Awan Hibrid 2021 yang dijalankan syarikat perkhidmatan teknologi global, NTT Ltd. bagi meninjau keperluan kritikal dalam perniagaan dan peranan pengkomputeran awan dalam membantu perniagaan.

 

NTT Ltd. berkata, tinjauan tersebut melibatkan 950 responden di 13 buah negara menjangkaui lima wilayah termasuk Singapura, Hong Kong, Idnia di Asia Pasifik (APAC).

 

 

Berikut adalah antara dapatan tinjauan;

 

 

  • Garis operasi perniagaan - 90.0% perniagaan APAC bersetuju bahawa pendemik telah memaksa perniagaan untuk lebih bergantung kepada teknologi berbanding sebelumnya.
  • Manfaat pengkomputeran awan amat jelas - Sebanyak 60.3% organisasi APAC di seluruh dunia sudah menggunakan pengkomputeran awan hibrid.
  • Awan hibrid masa hadapan - Kajian mendapati bahawa 31.6% responden APAC merancang untuk menjalankan penyelesaian hibrid dalam masa 12 hingga 24 bulan.

 

 

Tambah NTT Ltd., jelas sekali bahawa pengkomputeran awan hibrid dilihat sangat penting dalam pemprosesan data serta peutusan yang tepat pada masa kini dan masa hadapan.

 

"Pada masa tidak menentu ini, perniagaan terus berjimat dan mencari awan hibrid untuk meningkatkan kecekapan pengurusan kos sekali gus mengukuhkan prestasi keseluruhan organisasi.

 

"Menurut responden APAC, pendorong terbesar kepada penggunaan awan hibrid adalah peningkatan ketangkasan perniagaan (38.3%) diikuti jumlah kos operasi IT yang lebih efisyen (34.0%)," jelas NTT Ltd..

 

Naib Presiden Eksekutif Infrastruktur Pintar NTT Ltd., Rob Lopez berkata, ketika memasuki tahun baharu, perniagaan harus melihat kelebihan awan hibrid yang dioptimumkan dengan ketangkasan, keselamatan selain disokong oleh rangkaian yang tepat.

 

"Ini adalah asas di mana awan berjaya dan akan membolehkan perniagaan mendepani segala bentuk gangguan yang muncul," jelas beliau lagi. - DagangNews.com