9M20: Keuntungan selepas cukai TNB merosot 37.5% kepada RM2.41 bilion | DagangNews Skip to main content

9M20: Keuntungan selepas cukai TNB merosot 37.5% kepada RM2.41 bilion

Tenaga Nasional Berhad (TNB)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Keuntungan selepas cukai (PAT) Kumpulan Tenaga Nasional Berhad (TNB) turun 37.5% kepada RM2.41 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2020 berbanding RM3.86 bilion dalam tempoh sama 2019.

 

TNB dalam satu kenyataan berkata, keuntungan lebih rendah dicatat berikutan penutupan perniagaan yang terjejas akibat COVID-19 hingga menyebabkan jualan elektrik berkurangan, dan kesan daripada Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 16 sebanyak RM595.1 juta di samping kerugian tukaran matawang asing yang belum direalisasi sebanyak RM174.3 juta.

 

TNB mencatatkan kemerosotan dalam penjualan elektrik kepada 82,283.6 GWj pada sembilan bulan pertama 2020 berbanding 87,751.5 GWj pada tempoh sama tahun lalu.

 

Situasi berkenaan disebabkan oleh kelembapan ekonomi yang diheret oleh penutupan fizikal premis perniagaan, terutamanya sektor perindustrian dan komersial sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

 Paparan keputusan kewangan TNB untuk tempoh sembilan bulan pertama 2019 dan 2020.
Paparan keputusan kewangan TNB untuk tempoh sembilan bulan pertama 2019 dan 2020.

 

Pendapatan kumpulan turut berkurang 13.2% tahun ke tahun kepada RM33.65 bilion berbanding RM38.76 bilion, disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada syarikat-syarikat subsidiari dan lebihan pemulihan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak RM1.48 bilion berbanding rebat pemulihan RM2 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun,  margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) untuk tempoh sembilan bulan pertama 2020 kekal pada 40.9% disebabkan oleh penurunan perbelanjaan operasi sebanyak 18%.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pada suku ketiga yang berakhir pada September 2020, permintaan dan penjualan elektrik meningkat berbanding pada suku sebelumnya kerana sebahagian besar sektor industri dan komersial dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

 

Amir Hamzah Azizan
Amir Hamzah Azizan

 

"Sejajar pemulihan ekonomi, permintaan maksimum 16,570 GWj pada suku ini menghampiri tahap dicapai pada 2019 iaitu 16,894 GWj. 

 

"Hasilnya, penjualan dan kutipan meningkat secara berperingkat. Kami akan terus memantau trend ini ketika negara menghadapi gelombang ketiga COVID-19.

 

“Untuk setahun penuh, TNB menjangkakan penggunaan elektrik secara keseluruhan akan berkurangan antara 6% -10% tahun ke tahun. Namun demikian, kesannya dikurangkan oleh pendapatan entiti dikawal selia kami yang dijamin pada pertumbuhan permintaan 1.8% - 2.0% seperti yang ditetapkan oleh garis panduan Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) pada tempoh kawal selia kedua (RP2)," jelas beliau lagi. - DagangNews.com