9M20: Selangor catat pelaburan RM11.7 bilion | DagangNews Skip to main content

9M20: Selangor catat pelaburan RM11.7 bilion

Selangor

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Selangor berjaya mencatatkan nilai pelaburan tempatan dan asing berjumlah RM11.7 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama bermula Januari hingga September 2020.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jumlah itu mewakili pelaburan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan.

Perkara tersebut dinyatakan bagi menjelaskan jumlah pelaburan sebenar di negeri berkenaan sekali gus menepis jumlah yang diberitahu oleh ADUN Sungai Tua.

Menurutnya, jumlah pelaburan bernilai RM3.39 bilion antara Januari hingga Jun 2020 hanya mewakili 122 projek pembautan yang dipersetuji oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Manakala RM1.5 bilion atau 46.05% disumbangkan oleh pelabur asing.

"Itu adalah jumlah untuk sektor pembuatan, tetapi sekitar 60% industri utama di Selangor ialah sektor perkhidmatan.

 

Amirudin Shari
Amirudin Shari 

 

"Dan jika kita gabungkan pelaburan daripada kedua-dua industri, nilai pelaburan di Selangor hingga September 2020 adalah lebih daripada RM11 bilion.

"Jawapan rasminya ialah RM3.39 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan, tetapi jika kita tambah dengan sektor perkhidmatan akan mencecah sekitar RM11.7 bilion," jelasnya seperti dilapor Malay Mail.

ADUN Sungai Tua sebelum ini dalam jawapan kepada pertanyaan lisan memberitahu bahawa Selangor mencatatkan pelaburan berjumlah RM3.39 bilion untuk tempoh Januari hingga Jun 2020.

Mengulas lanjut,  Amirudin memberitahu, jumlah pelaburan yang dicatatkan Selangor itu berada di kedudukan kedua selepas Sabah dalam aspek jumlah nilai pelaburan semua sektor.

Katanya, sektor lain seperti pembinaan turut menyumbang sekitar 6% hingga 7% kepada ekonomi negeri.

Manakala sektor pertanian dan galian masing-masing menyumbang sebanyak 1.5% dan kurang daripada 1%. - DagangNews.com