Abdul Aziz Sheikh Fadzir kembali ke Destini sebagai pengarah bebas | DagangNews Skip to main content

Abdul Aziz Sheikh Fadzir kembali ke Destini sebagai pengarah bebas

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Julai - Penyedia rumusan kejuruteraan, Destini Bhd melantik semula Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir sebagai Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif berkuat kuasa 5 Julai 2023.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Destini berkata Abdul Aziz, 60, sebelum ini pernah memegang jawatan sama di syarikat itu dari 30 Ogos 2017 hingga 18 Mei 2018.

 

Ahli politik UMNO itu merupakan mantan ahli parlimen (MP) Kulim-Bandar Bahru dari 2013 hingga 2018, selepas berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah untuk Kuala Ketil selama satu penggal.

 

Abdul Aziz kini merupakan Pengerusi Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif di Priceworth International Bhd.

 

“Beliau turut berkhidmat di beberapa lembaga pengarah syarikat dan agensi pelaburan kerajaan, iaitu Universiti Utara Malaysia, Tourism Malaysia, Rangkaian Hotel Seri Malaysia Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Kedah dan Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd.

 

“Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah beberapa syarikat tersenarai awam, iaitu Kretam Holdings Bhd, Safeguard Corp Bhd, Utusan (Melayu) Malaysia Bhd dan TH Heavy Engineering Bhd,” kata Destini.

 

Beliau mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Perakaunan dari Indiana University, Amerika Syarikat.

 

Saham dalam Destini dibuka kekal pada 9 sen hari ini, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran sebanyak RM149.72 juta. - DagangNews.com