Abdul Jalil Rasheed letak jawatan CEO Berjaya Corp | DagangNews Skip to main content

Abdul Jalil Rasheed letak jawatan CEO Berjaya Corp

Abdul Jalil Abdul Rasheed

KUALA LUMPUR 21 Mac - Kumpulan Berjaya Corporation Berhad (BCorp) milik taikun Tan Sri Vincent Tan hari ini, mengesahkan perletakan jawatan Abdul Jalil Abdul Rasheed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.

 

Serentak dengan itu, BCorp mengumumkan pelantikan Vivienne Cheng Chi Fan dan Syed Ali Shahul Hameed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan bersama syarikat, berkuat kuasa 1 April 2022.

 

Menurut BCorp, Jalil akan melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BCorp serta semua jawatan lain dalam pelbagai lembaga syarikat yang berkaitan dengan BCorp berkuat kuasa 31 Mac 2022.

 

Pengasas dan Pengerusi BCorp, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun mengucapkan terima kasih kepada Jalil atas khidmatnya dan mendoakan semoga berjaya dalam usaha baharunya.

 

Tan Sri juga teruja dengan pelantikan baru dan berkata, “Vivienne Cheng dan Syed Ali adalah veteran Berjaya dan bawa bersama mereka pengalaman luas yang tidak ternilai kepada Kumpulan BCorp.”

 

Beliau yakin dengan pelantikan Datuk Abdul Rahim dan Tan Tee Ming berkata, “Kami percaya bahawa mereka akan memainkan peranan penting dalam mengendalikan Kumpulan BLand untuk mencapainya kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.”


 

Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun
                                      Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun

 

Menurut kenyataan BCorp, Syed Ali telah juga telah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif BCorp.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Abdul Jalil: Beberapa perkara bila difikirkan semula, boleh dilakukan dengan lebih baik

 

''Kedua-dua mereka adalah veteran Kumpulan di mana Vivienne Cheng menyertai Berjaya pada 1989 (33 tahun) dan Syed Ali menyertai Berjaya pada 1997 (25 tahun).

 

''Vivienne Cheng telah menjadi Eksekutif Pengarah BCorp sejak 2005 dengan pengalaman korporat yang luas dalam bidang kewangan terutamanya pembiayaan projek, pembiayaan modal, penstrukturan semula hutang, tawaran awam permulaan, pengurusan risiko dan pengurusan tunai perbendaharaan kumpulan.


 

Vivienne Cheng
Vivienne Cheng

 


''Syed Ali adalah CEO Berjaya Land (BLand) yang terkini iaitu anak syarikat tersenarai BCorp dan akan melepaskan jawatan itu.

 

''Selama 25 tahun bersama Kumpulan, beliau telah bertanggungjawab untuk pembangunan beberapa tempatan utama dan projek antarabangsa termasuk Inter-Continental dan Sheraton Hotels di Hanoi serta projek Four Seasons dan Ritz-Carlton masing-masing di Kyoto dan Kuala Lumpur,'' kata kenyataan itu.


 

Syed Ali Shahul Hameed
Syed Ali Shahul Hameed

 


Pada masa yang sama, BLand turut mengumumkan pelantikan Datuk Abdul Rahim Mohd Zin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif BLand berkuat kuasa 1 April 2022.

 

Beliau adalah Akauntan Bertauliah dan Ahli Institut Akauntan Malaysia yang mempunyai 35 tahun pengalaman dalam pelbagai bidang khususnya dalam perbankan, kewangan, minyak & gas, perkapalan dan makanan & minuman.

 

Beliau adalah kini Ketua Pegawai Eksekutif Landasan Lumayan Berjaya Sdn. Bhd. dan seorang Pengarah Eksekutif Berjaya Group Berhad, anak syarikat BCorp.


 

Datuk Abdul Rahim Mohd Zin
Datuk Abdul Rahim Mohd Zin

 


Selain itu, BLand juga mengumumkan perubahan kepada Lembaga Pengarahnya berkuat kuasa 1 April 2022.

 

Syed Ali dilantik semula sebagai Timbalan Pengerusi manakala Tan Tee Ming dilantik sebagai Pengarah Eksekutif. Oleh itu, Nerine Tan Sheik Ping akan mengundurkan diri daripada jawatannya sebagai Pengarah Eksekutif BLand.


 

Tan Tee Ming
                                       Tan Tee Ming

 


Tan Tee Ming adalah Pengurus Besar Kanan Jualan & Hartanah yang terbaharu dan dengan pengalaman lebih 20 tahun, beliau telah memegang pelbagai jawatan di beberapa bank swasta utama di Malaysia dan Singapura termasuk Citi Private Bank dan CIMB Bank. - DagangNews.com