ACCA: Akauntan berperanan penting di dalam meneraju tindakan iklim | DagangNews Skip to main content

ACCA: Akauntan berperanan penting di dalam meneraju tindakan iklim


 

KUALA LUMPUR 30 Nov Ketika perhatian pemimpin dunia terus tertumpu kepada aspek kemampanan dalam beberapa minggu selepas Sesi Ke-26 Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26), organisasi dan individu perseorangan juga terdorong untuk meneliti bagaimana tindakan mereka memberi kesan kepada persekitaran. 

 

Sebagai sokongan kepada tindakan iklim dan advokasi selama bertahun-tahun terhadap kemampanan yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG), Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) menerbitkan laporan terbaharunya, Tindakan Iklim dan Profesion Perakaunan: Membina Masa Hadapan Yang Mampan (Climate Action and the Accountancy Profession: Building a Sustainable Future).

 

Mengandungi pandangan dari lebih 3,000 akauntan dan profesional kewangan dari sektor korporat, awam, perkhidmatan kewangan dan badan tidak berasas keuntungan di seluruh dunia, laporan berkenaan memberi tumpuan kepada jurang yang ketara antara kesedaran dan tindakan.

 

Perunding Polisi Kanan ACCA untuk ASEAN dan ANZ, Sharath Martin berkata, laporan itu mendedahkan bahawa 52% percaya peraturan-peraturan iklim akan memberi impak terbesar ke atas organisasi dalam tempoh lima tahun akan datang, tetapi hanya 15% yang melaporkan organisasi mereka menetapkan sasaran untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050.

 

Bahkan kata beliau, hanya 23% yang memasukkan petunjuk prestasi utama (KPI) iklim ke dalam rangka kerja strategi dan/atau risiko perniagaan mereka.

 

Di Malaysia ujarnya lagi, hanya 24% responden menunjukkan bahawa organisasi mereka bersedia untuk melabur lebih banyak bagi menangani perubahan iklim dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, angka ini jauh lebih rendah berbanding purata global iaitu 38%.

 

''Berdasarkan langkah global ke arah tindakan iklim, dapatan ini memberitahu kita bahawa inilah masa yang paling tepat untuk organisasi meneliti cara mereka beroperasi,” kata Sharath.

 

Untuk membantu merapatkan jurang ini, laporan berkenaan menggariskan langkah-langkah penting dalam tindakan iklim yang perlu diambil oleh akauntan. Ini termasuklah menyokong kepimpinan lembaga pengarah dan eksekutif untuk membina pelan peralihan sifar bersih, memanfaatkan sasaran berasaskan sains, dan mengutamakan ESG serta KPI iklim dalam membuat keputusan perniagaan yang strategik, antara lainnya.

 

Sharath Martin
Sharath Martin

 


Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ACCA juga telah meningkatkan komitmennya ke arah kemampanan dengan terlibat secara aktif dalam inisiatif pro-ESG selain mengadakan kempen untuk memikirkan semula perniagaan yang mampan. 

 

Mewujudkan Kerjasama Yang Bermakna

Meletakkan asas untuk impak jangka panjang, baru-baru ini ACCA menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) untuk meningkatkan kesedaran dan menambah baik kemahiran dalam pelbagai bidang seperti kewangan yang mampan, dan mewujudkan saluran sokongan kemampanan dalam kalangan profesional kewangan dan perakaunan.

 

Dari semasa ke semasa, ini juga akan membantu usaha untuk menyelaraskan strategi kewangan organisasi dengan UNSDG, dan membuka jalan kepada ACCA dan UNGCMYB untuk bekerjasama dalam polisi sokongan dan penyelidikan peringkat tinggi.

 

Mencipta dan Berkongsi Pengetahuan

Sebagai sokongan untuk mencapai sasaran sifar bersih, ACCA telah meningkatkan penglibatannya dalam persidangan di peringkat tempatan dan antarabangsa, termasuklah GO ESG ASEAN 2021 dan SME SDG Festival 2021 anjuran UNGCMYB, selain mengadakan bengkel seperti PKS dan Tindakan Iklim: Laluan Ke Arah Transformasi Yang Mampan (SMEs and Climate Action: The Path Towards Sustainable Transformation). 

 

Bagi meneruskan sokongan kepada peralihan untuk PKS, ACCA juga membangunkan Buku Panduan Kemampanan PKS (SME Sustainability Playbook) bersama Akauntan Bertauliah Australia dan New Zealand, CA ANZ, yang membentangkan impak bermanfaat daripada tindakan yang mampan dan langkah praktikal untuk menanam amalan yang mampan dalam PKS. Butiran lanjut boleh diakses di sini.

 

Ketua Portfolio Interim, ACCA Maritim Asia Tenggara, Andrew Lim berkata, ACCA memahami bahawa PKS berada dalam kedudukan yang boleh memberi sumbangan yang signifikan terhadap kemampanan kerana mereka mewakili segmen penting dalam ekonomi global.

 

“Hasilnya, akauntan dan amalan perakaunan kecil dan sederhana (SMP) mempunyai peranan penting untuk dimainkan sebagai pelopor kemampanan dalam sektor PKS,” kata beliau.

 

Bagi meluaskan jaringannya, ACCA yang turut berfungsi dari bawah, menyedari bahawa tindakan individu juga penting untuk melindungi dan memelihara sumber bumi yang terhad. 

 

Andrew Lim
                              Andrew Lim

 


Untuk mencapai tujuan itu, kempen #MYGoZero terus diadakan bagi mempromosikan konsep sisa-sifar yang merentas tiga komponen utama kemampanan, iaitu Masyarakat (People), Persekitaran (Planet) dan Keuntungan (Profit).

 

Bersama adiwira tindakan iklim Z-RO, kempen ini berkongsi panduan mudah untuk mengurangkan sisa harian, dengan sokongan dari personaliti media sosial yang turut menyokong kehidupan yang lestari.

 

Digandingkan dengan siri komik web menarik dan penggunaan ‘stiker digital’ ekspresif, kempen ini memperoleh keterlihatan yang ketara melalui jangkauan media digital dan sosialnya yang mencatatkan 1 juta tontonan setakat hari ini.

 

Menyokong Pendidikan Ahli

Bagi menggalakkan dan meningkatkan kesedaran mengenai kemampanan, ACCA juga telah menganjurkan pelbagai forum dan webinar termasuklah forum kerjasama pertamanya dengan UNGCMYB, Menuju Ke Perubahan Iklim (Path to Climate Change), yang menekankan inisiatif sasaran berasaskan sains (SBTi) untuk mengira pengurangan karbon secara tepat dan kesannya kepada asas perniagaan.

 

Tahun ini, persidangan tahunan utama ACCA yang diadakan secara maya, Accounting for the Future, turut memberi fokus kepada transformasi perniagaan yang mampan.

 

Acara global selama 3 hari ini menampilkan pandangan berharga dan nasihat pakar industri dari seluruh dunia, membentangkan butiran maklumat untuk perniagaan yang dipetik dari COP26 dan pemikiran bersepadu bagi menyokong matlamat cabaran iklim.

 

Sebagai sokongan berterusan kepada profesional kewangan yang mengambil peranan penting dalam kemampanan perniagaan, ACCA melancarkan kursus baharu, Certificate in Sustainability for Finance (CertSF), iaitu kursus Pembangunan Profesional Berterusan (Continuing Professional DevelopmentCPD) bagi menawarkan asas yang kukuh dalam kemampanan dan ESG, dengan model dan rangka kerja perniagaan, amalan terbaik, dan pelbagai alatan seperti analisis kemampanan.

 

Usaha bersepadu ini bertujuan menggalakkan analisis nilai persekitaran dan sosial dimasukkan ke dalam laporan kewangan, untuk memupuk kepercayaan dan akauntabiliti dalam kalangan pihak berkepentingan dan orang awam.


 

ACCA

 


Melangkah ke hadapan, sangat penting bagi akauntan supaya tidak hanya mengukur impak perniagaan terhadap persekitaran bahkan turut mengambil kira bagaimana iklim dan risiko modal semulajadi akan memberi impak kepada keupayaan perniagaan untuk menjana nilai pada masa hadapan.

 

“Ketika dunia terus menghadapi cabaran perubahan iklim, kami berharap setiap negara, organisasi dan individu dapat memainkan peranan aktif dalam membuat perubahan yang bermakna dan berkesan, dan dengan itu akan mempercepatkan peralihan ke arah pelepasan karbon sifar bersih,” kata Martin. 

 

Muat turun Tindakan Iklim dan Profesion Perakaunan: Membina Masa Hadapan Yang Lestari (Climate Action and the Accountancy Profession: Building a Sustainable Future) anjuran ACCA  di sini atau kunjungi Hub Kemampanan ACCA di sini. - DagangNews.com